Dakwaan warga emas ke PPV Seri Iskandar tidak dibantu, hanya salah faham
Abd Razak Mohd Ali
Julai 1, 2021 15:16 MYT
Julai 1, 2021 15:16 MYT
SERI ISKANDAR: Dakwaan kononnya seorang warga emas yang pergi ke Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Seri Iskandar, Perak baru-baru ini tidak dibantu, adalah disebabkan salah faham.
Selain itu, dakwaan petugas di PPV berkenaan kononnya warga emas itu membayar sendiri duit teksi untuk pergi balik ke pusat tersebut juga tidak benar.
Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Teluk Kepayang Hilir, Ali Jahaya berkata, kebajikan Fatimah Mohd Jadi, 77 dan cucunya yang cacat sentiasa diberi perhatian.
Menurutnya, Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota yang juga Exco kerajaan negeri, Khairul Shahril sentiasa mengambil berat kebajikan penduduk di Parit dan Bota, termasuk Fatimah dan cucunya.
“Apa yang berlaku pada hari itu, lebih kurang jam 12 tengah hari, pihak PPV Seri Iskandar menghubungi saya supaya membawa penduduk yang telah didaftar untuk diberi suntikan vaksin.
“Kebetulan YB (Khairul) Shahril menyediakan khidmat teksi percuma untuk mereka yang tidak mempunyai kenderaan untuk ke pusat itu, jadi saya gunalah perkhidmatan itu,” katanya ketika ditemui.
Menurut Ali, disebabkan Fatimah perlu membawa sekali cucunya, yang juga orang kurang upaya, beliau sendiri (Ali) telah mengangkat masuk warga OKU itu ke dalam teksi.
“Berdasarkan pengalaman, saya yakin ada sukarelawan di PPV yang boleh membantu untuk menguruskan Kak Fatimah dan cucunya.
“Lebih memeranjatkan saya, ada pula audio tular yang mengatakan Kak Fatimah dikenakan bayaran teksi sedangkan YB Shahril kata perkhidmatan itu percuma dan Kak Fatimah sendiri mengakui teksi tidak mengambil sebarang bayaran,” jelasnya.
Ali melahirkan rasa kecewa kerana rakaman audio yang tular di media-media sosial memberi gambaran tidak baik terhadap wakil rakyat, keluarga Fatimah, JPKK dan masyarakat kampung.
Sehubungan itu, beliau berharap, agar semua pihak, khususnya petugas kena lebih berhati-hati di dalam segala tindakan agar tidak memberi kesan buruk kepada semua pihak terbabit.
“Dakwaan ini membuat semua orang terkejut, termasuk keluarga Puan Fatimah sendiri yang tertekan kerana ia tersebar di dalam media sosial,” tambahnya.
Ali menjelaskan, kesemua wakil rakyat di dalam Parlimen Parit, termasuk ADUN Bota dan Belanja sentiasa turun padang untuk melihat dan membantu penduduk yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
Sementara itu, Fatimah berkata, ekoran daripada rakaman audio yang tular itu, anak cucunya, termasuk yang di luar Perak turut menefonnya kerana rakaman tersebut menggambarkan seolah-olah kehidupannya terlalu susah.
“Sebenarnya makcik semuanya cukup dan makcik juga tak beritahu mereka bila saya cucuk vaksin sebab tak mahu menyusahkan mereka,” katanya.
Walaupun fizikalnya bongkok, warga emas itu tidak duduk diam dan sentiasa aktif melakukan kerja-kerja kampung seperti membuat bedak sejuk dan menganyam tikar untuk diberikan kepada anak cucu atau orang kampung yang datang ke rumahnya.
“Anak cucu sebenarnya tak bagi makcik buat kerja-kerja ni lagi, mereka suruh rehat saja, tapi mana mahu makcik duduk saja tak buat apa-apa,” katanya yang tidak henti-henti bercerita.