Dakwaan ugut guna pistol, bapa pelakon 'Kekasih Paksa Rela' mengaku tidak bersalah
Gempak
November 11, 2021 17:12 MYT
November 11, 2021 17:12 MYT
KUALA LUMPUR: Bapa kepada seorang pelakon wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas dakwaan mengugut dengan mengeluarkan sepucuk pistol terhadap seorang lelaki pada 2 November lalu.
Tertuduh, Harizal Hashim, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Mohamad Redza Rezali.
Berdasarkan pertuduhan tersebut, Harizal yang merupakan bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat Mejar didakwa menakutkan Mohamad Nur Usry. Yusoff, 25, dengan mengeluarkan pistol jenis CZP-07, lapor portal Utusan Malaysia.
Bapa kepada pelakon drama Kekasih Paksa Rela, Nynaa Harizal itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di tepi jalan U13/25J, Jalan Setia Perdana, Alam Nusantara, Setia Alam pada jam 1.40 pagi, 2 November lalu.
Jika sabit kesalahan, Harizal boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman menawarkan jaminan sebanyak RM5,000.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam difahamkan memohon mahkamah mempertimbangkan khidmat cemerlangya selama 25 tahun dengan TUDM untuk mengurangkan jumlah ikat jamin.
Teruduh juga kini sedang mengupah peguam untuk menguruskan proses penceraian anak perempuannya dengan baik.
Mahkamah menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan seterusnya pada 30 Disember nanti.
Terdahulu, media melaporkan suami kepada Nynaa, Mohamed Fahmi Ilyas membuat laporan polis dan mendakwa isterinya itu diculik oleh bapa mentuanya.
Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika Nynaa berada di set penggambaran sebeleum bertindak membawa anaknya itu untuk tujuan berubat.
Tertuduh didakwa mengajukan pistol kepada pembantu peribadi Nynaa sambil memberi amaran akan melepaskan tindakan jika dia dihalang untuk mengambil anaknya itu.
Artikel ini disiarkan di portal Gempak