Dakwaan tidak bekalkan daftar pemilih, SPR perlu jawab segera

Astro Awani
Februari 16, 2022 20:21 MYT
Manimaran mencadangkan satu daftar pemilih baharu dibuat meskipun melibatkan kos tinggi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menjawab isu belum membekalkan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) walaupun ia sudah diwartakan Januari lepas, dengan segera.
Penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia, G Manimaran, berkata penjelasan harus diberikan supaya tidak timbul pelbagai persepsi negatif selepas isu tersebut dibangkitkan Pengarah Pilihan Raya Pusat PKR, Fuziah Salleh pada Rabu.
Beliau pada masa sama berpendapat, mungkin daftar pemilih tersebut tidak dapat diberikan susulan keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) tidak membenarkan sekolah dijadikan pusat mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Jelasnya, keadaan itu menyebabkan maklumat dalam DPT itu tidak tepat dan memerlukan sedikit masa untuk SPR melakukan pembetulan.
“Katakan... contoh, SPR kata kami terima permintaan daripada KPM, sekian-sekian…Kita memerlukan masa beberapa hari supaya tidak timbul kekhuatiran, tidak timbul isu tidak percaya kepada daftar pemilih.
“Itu (persepsi) semua perlu dibetulkan pada hari ini supaya orang tidak membuat persepsi yang serong. SPR perlu mengeluarkan kenyataan media susulan daripada apa yang KPM minta seperti tidak gunakan sekolah dan apa yang Fuziah bangkitkan, mereka tak terima lagi daftar pemilih itu.
“Pada hari ini, kita semua berada dalam perang pilihan raya, jadi perkara itu perlu dibetulkan. Saya rasa semua pihak kena bertolak ansur, membetulkan dan beri gambaran apa yang berlaku,” katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.
BACA: Sudah warta tetapi Daftar Pemilih Tambahan masih belum dibekalkan - PKR persoal SPR
Bagi mengelakkan isu tersebut terus diperkatakan, Manimaran mencadangkan satu daftar pemilih baharu dibuat meskipun melibatkan kos tinggi.
“Bermaksud dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atau pilihan raya kecil akan datang, kita gunakan daftar pemilih yang baharu.
“Kita perlu satu Daftar Pemilih Induk yang baharu, yang bersih, kita boleh lakukan. Maksudnya kita bersihkan. Orang yang dah meninggal dunia, tiada nama, kita keluarkan dan beri satu tempoh membersihkan daftar pemilih.
“Kalau tidak, isu ini (mempertikaikan daftar pemilih) akan terus berlarutan,” ujarnya.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan PKR mempersoalkan tindakan SPR yang didakwa sehingga kini masih belum membekalkan DPT sehingga bulan Disember tahun 2021 walaupun ia sudah diwartakan pada Januari lepas.
Fuziah berkata, SPR telah mengeluarkan senarai harga Daftar Pemilih Induk (DPI) 2021 pada 7 Februari lepas dan menyatakan ia sedia untuk diberikan kepada parti politik.
#PKR #daftar pemilih #SPR #Suruhanjaya Pilihan Raya
;