Dakwaan TIA cuba cagar aset minyak Terengganu tidak benar - Ahmad Razif
Astro Awani
Mei 14, 2015 13:27 MYT
Mei 14, 2015 13:27 MYT
Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman menafikan dakwaan yang menyatakan bahawa Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) cuba menjadikan industri minyak dan gas negeri sebagai cagaran.
“Tidak ada seumpamanya. Exco kami tentunya tidak bersetuju mengenai dakwaan itu memandangkan kami juga memiliki pasukan pakar yang menasihati kami,” ujar Ahmad Razif seperti dilaporkan portal berita The Star Online.
Beliau dilaporkan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said yang mendakwa terdapat percubaan TIA untuk mencagar sumber minyak dan gas negeri.
“Pada hakikatnya, TIA memang tiada kaitan dengan 1MDB,” tegas Ahmad Razif.
Menurut Ahmad Razif, kerajaan pusat pada mulanya bercadang untuk melabur dengan TIA dan cabang pelaburan itu ditubuhkan sebagai pilihan untuk mempelbagaikan pendapatan negeri.
“Ia adalah keputusan bersama dalam kalangan exco untuk membuat pelaburan dan begitulah TIA dibangunkan dengan modal pelaburan RM1 juta ketika itu,” jelas beliau yang turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri pula telah mengambil keputusan untuk tidak meneruskannya memandangkan masa yang tidak sesuai.
Jelas Ahmad Razif, perancangan itu tidak diteruskan kerana tidak mahu kerajaan negeri menanggung sebarang risiko akibat menguruskan TIA.
“Tiada isu di sini. Kita tidak rugi walau sesen pun. Kami telus dan terbuka untuk menangani sebarang salah laku melalui saluran-saluran yang betul,” jelas beliau.