Dakwaan Takiyuddin kelirukan Dewan Rakyat, Pemuda PH Wilayah mahu buat laporan polis
Astro Awani
Julai 29, 2021 14:31 MYT
Julai 29, 2021 14:31 MYT
KUALA LUMPUR: Susulan kenyataan Istana Negara bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah mengelirukan Dewan Rakyat, Pemuda Pakatan Harapan Wilayah akan membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Kota Bharu itu.
Dalam satu jemputan media hari ini, Ketua Pemuda Pakatan Harapan Wilayah, Asmaalif Abdul Adam berkata, laporan polis akan dibuat esok.
“Pemuda Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan akan membuat laporan polis terhadap YB Takiyuddin Hassan, Menteri Undang-Undang kerana derhaka dan membelakangkan perkenan Yang Dipertuan Agong," katanya.
Awal hari ini, Istana Negara berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Istana Negara turut mengesahkan pembatalan semua Ordinan Darurat oleh kerajaan belum mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.
#Takiyuddin Hassan
#Yang di-Pertuan Agong
#kelirukan dewan
#Pemuda Pakatan Harapan
#Parlimen
#undang-undang
#SOP
#Pakatan Harapan
#Kota Bharu