Dakwaan syiling yang ditemui adalah palsu tidak benar

Astro Awani
Mei 5, 2014 17:47 MYT
Syiling lama yang ditemui pada 30 April. -Gambar Fail
Pengarah Urusan Smart Partnership International (M) Sdn Bhd, Mohammad Foad Khushairy Mohd Said menafikan dakwaan kononnya beliau sengaja meletakkan dua syiling ditemui di Pulau Nangka bagi tujuan meraih penyambungan kontrak yang sepatutnya berakhir 30 April lalu.
Menurutnya, syiling berkenaan ditemui ketika kerja-kerja pengerudian bongkah batu yang menjadi lokasi tumpuan pencarian.
Malah katanya, ketika ia ditemui turut disaksikan banyak pihak termasuk para media dan juga wakil Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).
Sejak dua syiling berkenaan ditemui pada malam 30 April lalu, ia menerima banyak maklum balas dari pelbagai pihak di laman sosial yang meragui kesahihannya.
Malah ada yang berpendapat syiling seumpama itu mudah diperolehi dan banyak dijual di internet.
Mohammad Foad berkata, dua bahan yang ditemui berkenaan sudahpun diserahkan kepada pihak PERZIM untuk memutuskan kesahihannya dan keputusan ujian makmal akan menentukan sama ada ia benar-benar dari kawasan berkenaan atau pun sebaliknya.
Dalam pada itu, Mohammad Foad turut menafikan beberapa gambar harta karun yang tersebar di internet kononnya ditemui di Pulau Nangka sewaktu kerja-kerja pencarian.
Beliau turut bertegas setakat ini hanya dua keping syiling ditemui sepanjang tempoh pencarian dan gambar yang tersebar di internet itu adalah tidak benar.
#kontrak #Mohammad Foad #PERZIM #Pulau Nangka #Smart Partnership International #syiling
;