Dakwaan SPRM tahan lima ADUN Perlis tidak benar - Azam Baki

Sinar Harian
Mei 15, 2024 15:40 MYT
Azam berkata, dakwaan penahanan itu dikatakan berkaitan dengan siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan membabitkan anak Menteri Besar Perlis. - Gambar fail
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan mengenai penahanan terhadap lima ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dakwaan penahanan itu dikatakan berkaitan dengan siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan membabitkan anak Menteri Besar Perlis.
"Siasatan masih dijalankan dan orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi.
"Dakwaan penahanan itu tidak benar dan hanya khabar angin," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum itu, seorang pemimpin politik kanan sebuah parti di Perlis mendakwa lima ADUN di negeri itu bakal ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.
Dakwanya, ia susulan penahanan anak kepada Menteri Besar Perlis yang ditahan suruhanjaya itu hujung April lalu atas dakwaan membuat tuntutan palsu terhadap kerja yang tidak dilaksanakan berjumlah RM600,000.
Pada 26 April, anak lelaki kepada Menteri Besar Perlis yang direman SPRM, dilepaskan dengan jaminan SPRM, beserta empat individu lain yang turut ditahan bagi membantu siasatan dalam kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM600,000.
Berikutan itu, 30 April lalu, Azam mengesahkan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dibebas dengan ikat jamin selepas direkod keterangan hampir lapan jam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 membabitkan isu salah guna kuasa. - Sinar Harian
#SPRM #ADUN Perlis #MB Perlis #salah guna kuasa
;