Dakwaan simpan jenazah bayi: Hospital swasta disiasat - Dr Dzulkefly

Astro Awani
Disember 11, 2024 18:44 MYT
Dr Dzulkefly menasihati semua pihak bertenang memandangkan pihak berkenaan sudah dikerahkan untuk menjalankan siasatan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) telah memulakan siasatan terhadap dakwaan hospital swasta menahan selama dua minggu jenazah bayi hanya kerana ibu bapa gagal menjelaskan bil hospital lebih awal.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menasihati semua pihak bertenang memandangkan pihak berkenaan sudah dikerahkan untuk menjalankan siasatan.
"Bukan perkara mudah kerana ada dakwaan di sana sini. Jadi, saya percaya kita semua boleh bersabar untuk mendapatkan fakta yang sebenarnya sebelum kita membuat apa-apa andaian yang kita kesal kemudian.
“Jadi saya akan nantikan dgn sabar untuk dapatan penuh dari pihak berwajib yang sedang jalankan siasatan termasuk pihak CKAPS yang telah turun mendekati pihak terbabit. Saya mahukan perkara ini diambil dengan sifat ihsan dan empati. Itu yang penting,” katanya.
Susulan kejadian itu, Dr Dzulkefly sempat menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga terbabit sambil berharap semua pihak tidak menyebar cerita yang belum dipastikan kesahihannya.
Pada Rabu, Hospital Bersalin Razif di Klang, Selangor menafikan dakwaan pihaknya menahan jenazah seorang bayi selama dua minggu, sebaliknya menjelaskan memberi kebenaran bayi berkenaan dikebumikan sebelum bayaran bil hospital dibuat.
#mayat bayi disimpan #hospital bersalin razif #Dr Dzulkefly Ahmad #Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta
;