Dakwaan simpan gambar dan video lucah bekas kekasih, Haqiem Stopa mengaku tidak bersalah

Fareez Azman
Disember 14, 2022 15:14 MYT
Haqiem didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Rawang kira-kira jam 4.30 petang pada hari yang sama. - Twitter / Haqiem Stopa
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang pernah dikenali dengan jolokan 'ikon pemotoran', Haqiem Stopa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang hari ini atas tuduhan menyimpan gambar dan video lucah bekas kekasihnya.
Haqiem atau nama sebenarnya Muhammad Sadzri Hakim Jaafar, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.
Dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan kesalahan itu terhadap seorang wanita berusia 21 tahun dalam simpanan galeri dua telefon bimbit miliknya pada 9 Disember lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Rawang kira-kira jam 4.30 petang pada hari yang sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd Faiz Fahmy Abdul Razak, manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi.
Mahkamah menetapkan 23 Februari tahun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.
#Haqiem Stopa #Mahkamah Majistret #Selayang #bekas kekasih
;