Dakwaan seleweng wang zakat: MAINS beri kerjasama penuh kepada SPRM

Bernama
Februari 14, 2023 20:02 MYT
Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) komited memberi kerjasama penuh melalui siasatan yang akan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan agensi itu.
SEREMBAN: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) komited memberi kerjasama penuh melalui siasatan yang akan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan agensi itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir berkata pihaknya berharap siasatan dapat dijalankan secara terperinci dan tuntas selain tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan pengurusan wang zakat.
"MAINS mengalu-alukan kenyataan SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membuka semula kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat di Negeri Sembilan. Isu ini telah disiasat oleh pihak berkuasa bermula 2019 lagi.
"Laporan hasil siasatan itu juga amat penting bagi membersihkan imej MAINS dan mengembalikan keyakinan masyarakat Islam terhadap tata kelola pengurusan zakat di Negeri Sembilan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim dilapor mengesahkan kes berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan MAINS dikaji semula untuk melihat keterangan yang ada.
Beliau berkata kertas siasatan kini dirujuk semula kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan telah dikeluarkan untuk dijalankan siasatan lanjut terhadap isu berbangkit.
Sebelum ini, tular dalam aplikasi Telegram mengenai laporan pecah amanah wang kutipan zakat melibatkan pegawai jabatan terbabit.
-- BERNAMA
#dakwaan seleweng wang zakat #MAINS #SPRM #kerjasama siasatan
;