Dakwaan seleweng dana: Aman Palestin beri SPRM tiga hari nyah beku akaun
Madiha Abdullah
November 27, 2023 04:20 MYT
November 27, 2023 04:20 MYT
BANGI: Aman Palestin Berhad memberikan masa tiga hari kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyahbekukan akaun mereka.
Peguam Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, pihak mereka tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika SPRM gagal berbuat demikian.
Bercakap pada sidang media semalam, Muhammad Rafique mendakwa perenggan ketiga dalam kenyataan media yang dikeluarkan SPRM pada 23 Nov lalu berniat jahat dan sengaja diterbitkan untuk membina persepsi negatif dalam kalangan orang ramai.
Pihaknya juga mempersoalkan tindakan SPRM membekukan akaun badan bukan kerajaan (NGO) itu sehari selepas ia mengumumkan penyaluran wang untuk kempen bantuan musim sejuk dan ketika gencatan senjata diisytiharkan di Gaza.
"Bagaimana wang derma sumbangan rakyat dan individu dikategorikan sebagai hasil aktiviti haram?
"Aman Palestin hari ini mengutus surat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM serta Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), memberi notis di bawah Seksyen 44 (A) untuk perintah pembekuan ini dibatal atau diubah.
"Aman Palestin beri tempoh tiga hari untuk penyahbekuan akaun. Sekiranya gagal, tindakan perundangan sepatutnya dan suai manfaat akan diambil," katanya.
Tambah Muhammad Rafique, kenyataan pada 23 Nov itu serta beberapa pembocoran maklumat siasatan yang telah dinafikan, adalah satu komplot dan propaganda jahat untuk membunuh karakter Aman Palestin secara khusus.
Katanya, 41 akaun yang dibekukan untuk siasatan itu bukan semua milik Aman Palestin, sebaliknya terdapat juga akaun milik rakan strategik, ahli lembaga pengarah dan kakitangan.
"Antara aset yang dibekukan ialah 12 bidang tanah, empat buah bangunan, empat buah kereta dan wang berjumlah RM15 juta yang merupakan hasil sumbangan rakyat Malaysia.
"Kesemua aset ini untuk pelaburan yang dibenarkan bagi mempertingkatkan kebolehan Aman Palestin dalam memberi bantuan kemanusiaan dan bukan untuk tujuan peribadi," jelasnya lagi.
Pada 23 Nov lalu, SPRM membekukan 41 akaun bank milik Aman Palestin dan beberapa syarikat lain yang berkaitan dengannya, atas dakwaan salah guna wang sumbangan orang ramai.
SPRM dalam kenyataannya memaklumkan, siasatan awal ke atas NGO itu mendapati, kira-kira RM70 juta telah disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhannya.
Akaun bank yang dibekukan oleh SPRM pada 22 Nov itu melibatkan dana berjumlah RM15,868,762.
Sementara itu, mengulas mengenai jongkong emas yang didakwa antara barangan yang dirampas SPRM, Muhammad Rafique berkata ia adalah untuk tujuan pelaburan yang dibenarkan.
Beliau bagaimanapun tidak mengesahkan sama ada laporan mengenai rampasan jongkong emas itu benar.
"Kuasa untuk melabur itu ada dalam pelbagai mekanisme, jadi tidak salah.
"Lagipun kita semua sedia maklum, emas itu bernilai dan mudah untuk ditukar kepada wang tunai untuk dihantar kepada mereka yang memerlukan bantuan.
"Jadi dakwaan (yang mengatakan ia didapati dari hasil haram) tidak betul dan berniat jahat," katanya lagi.