Dakwaan salah laku program Sarjana Pembedahan USM tidak berasas - USM

Bernama
Oktober 6, 2022 05:30 MYT
Dakwaan berlaku salah laku dalam penawaran dan peperiksaan program Sarjana Pembedahan (Neurosurgery) oleh USM adalah tidak berasas sama sekali, demikian dapatan hasil siasatan oleh panel khas meneliti dakwaan tersebut. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Dakwaan berlaku salah laku dalam penawaran dan peperiksaan program Sarjana Pembedahan (Neurosurgery) oleh Universiti Sains Malaysia (USM) adalah tidak berasas sama sekali, demikian dapatan hasil siasatan oleh panel khas meneliti dakwaan tersebut.
USM, dalam kenyataan pada Khamis, memaklumkan panel khas dipengerusikan oleh Prof Emeritus Datuk Dr Raymond Azman Ali dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah meneliti aduan tentang dakwaan tersebut dan mendapati ia tidak berasas sama sekali.
Menurut universiti tersebut, panel khas tersebut telah membuat siasatan menyeluruh daripada pelbagai aspek termasuk proses peperiksaan, staf akademik yang terlibat dan mencari saksi yang boleh memberi keterangan.
Pusat pengajian tinggi itu berkata panel khas yang ditubuhkan Julai lepas itu telah memulakan proses inkuiri pada Ogos lepas dan diikuti dengan lawatan ke Pusat Pengajian Sains Perubatan bulan lalu untuk melihat segala dokumen serta mengadakan perjumpaan dengan pihak pengurusan, seperti Dekan, Pengerusi Rancangan, pelajar dan alumni.
"Panel khas itu turut mendapati pengajian Sarjana Pembedahan tersebut adalah program latihan pascasiswazah pembedahan yang mantap, skop dan kandungannya memenuhi piawaian profesional, dilaksanakan dengan betul sama ada dari segi program mahupun dalam pengendalian dan kerahsiaan kertas peperiksaan dan kes klinikal.
"Panel khas itu juga mendapati terdapat bilangan kakitangan akademik yang berkelayakan dan jurulatih profesional yang mencukupi dalam mengendalikan program ini dan mereka disokong dengan baik oleh kakitangan sokongan," menurut kenyataan itu.
Panel khas tersebut turut dianggotai oleh lima orang yang terdiri daripada wakil pakar perubatan pelbagai disiplin yang mewakili universiti awam, Kementerian Kesihatan,, Majlis Perubatan Malaysia, Akademi Perubatan Malaysia dan pihak swasta ekoran terbitnya aduan yang dibuat di akhbar dalam talian pada 31 Mei lalu.
"USM turut menerima aduan dalam talian e-Aduan di Pusat Pengajian Sains Perubatan USM yang membuat tuduhan ketidakadilan dan ketidaktelusan berlaku dalam proses penawaran dan peperiksaan program tersebut," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#dakwaan salah laku #Sarjana Pembedahan #USM #Dr Raymond Azman Ali
;