Dakwaan salah laku, Bukit Aman jalankan siasatan terhadap pegawai kanan polis negeri
Nickyson Nyambar
Mei 12, 2021 16:57 MYT
Mei 12, 2021 16:57 MYT
KUALA LUMPUR : Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkenaan aduan salah laku serta salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan polis negeri.
Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Zamri Yahya dalam satu kenyataan hari ini berkata siasatan dibuat berikutan beberapa aduan dilakukan terhadap pegawai kanan polis terbabit.
"Sehubungan itu, JIPS telah memulakan siasatan ke atas semua aduan yang diterima secara menyeluruh dan telus.
"Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat keterangan yang menjurus kepada wujudnya apa-apa salah laku dan salah guna kuasa pegawai kanan tersebut," katanya.
Ujarnya lagi, pihak PDRM tidak akan melindungi mana-mana pegawai kanan dan pegawai rendah polis yang terlibat dalam sebarang penyelewengan, salah laku dan salah guna kuasa.
Baru-baru ini, satu perkongsian mengenai pegawai kanan tinggi itu tular menerusi laman Facebook yang mendakwa pegawai itu menjadi pelindung utama sindiket perjudian, penyeludupan dan kongsi gelap di negeri berkenaan.
#PDRM
#siasatan
#artikel fitnah
#salah guna kuasa
#Bukit Aman
#Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard
#fitnah
#polis
#sindiket
#JIPS