Dakwaan salah guna kuasa di sebuah jabatan: tidak berlaku perkara membimbangkan - Fahmi

Bernama
Julai 25, 2024 00:00 MYT
Fahmi berkata beliau telah dimaklumkan mengenai perkara disentuh oleh satu 'surat layang' yang disebar kepada banyak pihak. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Siasatan dalaman Kementerian Komunikasi mendapati tidak berlaku sebarang perkara yang 'membimbangkan' berhubung dakwaan berlaku salah guna kuasa di salah sebuah jabatan di bawah kementerian itu, kata Menterinya Fahmi Fadzil.
Bercakap dalam sidang media di sini semalam, jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata beliau telah dimaklumkan mengenai perkara disentuh oleh satu 'surat layang' yang disebar kepada banyak pihak itu, dan ia telah dibawa kepada perhatian Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
"Siasatan dalaman telah dijalankan dan sehingga hari ini kita tidak mendapati (berlaku) perkara yang membimbangkan atau merisaukan, perkara itu tidak berlaku.
"Secara dasarnya kita tidak layan surat layang. Yang dimaklumkan (surat layang) ini berkaitan dengan mantan Ketua Pengarah (KP) jabatan itu, bukan (KP) sekarang," katanya.
Pada Selasa, tular di saluran Telegram Edisi Siasat yang mendedahkan dakwaan salah guna kuasa di Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dan mengaitkan beberapa individu, yang dikatakan terlibat dengan penyelewengan.
Surat itu dialamatkan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki dan salinannya diedarkan kepada beberapa pihak, antaranya Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Mohamad Fauzi.
-- BERNAMA
#salah guna kuasa #Fahmi Fadzil #Jabatan Penerangan #surat layang