Dakwaan RUU Mufti digubal tergesa-gesa tidak benar - Mohd Na'im

Bernama
Oktober 15, 2024 15:45 MYT
Mohd Na'im berkata penggubalan RUU itu merupakan usaha yang diambil kerajaan bertujuan untuk memartabatkan dan memperkasakan institusi Mufti di Wilayah-Wilayah Persekutuan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Dakwaan kononnya Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 digubal secara tergesa-gesa dan dipengaruhi pihak tertentu adalah tidak benar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Beliau berkata penggubalan RUU itu merupakan usaha yang diambil kerajaan bertujuan untuk memartabatkan dan memperkasakan institusi Mufti di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
"Menerusi pemerkasaan ini, bidang kefatwaan dan pembangunan hukum syarak akan dapat ditadbir secara teratur, telus serta berwibawa ke arah meningkatkan keberkesanan tadbir urus pentadbiran Islam di Malaysia.
"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menafikan kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa bahawa RUU Mufti ini digubal secara tergesa-gesa dan dipengaruhi oleh pihak tertentu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Na'im berkata Jawatankuasa Penggubalan RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) telah ditubuhkan pada 2021 bertujuan untuk mengkaji dan menggubal suatu akta yang khusus untuk Mufti.
Jawatankuasa Penggubalan itu dianggotai wakil daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Selangor.
"RUU Mufti telah melalui suatu proses penggubalan yang teliti dan panjang bagi memastikan suatu RUU yang komprehensif digubal serta teratur dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati semua pihak agar berhati-hati dengan sebarang kenyataan yang tidak bersandarkan fakta kerana ia boleh mencetuskan polemik terhadap usaha murni itu.
-- BERNAMA
#RUU Mufti #Wilayah Persekutuan #kontroversi #Mohd Na'im Mokhtar
;