Dakwaan rogol pembantu rumah: Exco Perak dijangka didakwa di mahkamah esok

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 22, 2019 18:02 MYT
Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. - Gambar hiasan
Seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak yang dikaitkan dengan dakwaan merogol pembantu rumah warga Indonesia dijangka didakwa di mahkamah di sini, esok (Jumaat).
Menurut sumber, ketika ini pihak pendakwaan sedang membuat urusan untuk mendaftarkan kes tersebut di mahkamah.
Pada Isnin, Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Hussain mengesahkan bahawa polis telah menyerahkan semula kertas siasatan berhubung kes seorang Exco Perak yang dikaitkan dengan tuduhan merogol pembantu rumah kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kertas siasatan itu diserahkan pada Jumaat lepas.
Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dirogol Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung, Paul Yong Choo Kiong, di rumah majikannya itu, di Meru.
Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
#dakwaan rogol #exco Perak #jenayah #Ketua Polis Perak #mahkamah #PDRM #pembantu rumah #polis #Razarudin Hussain
;