Dakwaan rogol dalam lokap, reman Inspektor polis disambung

Muhafandi Muhamad
Jun 12, 2021 14:42 MYT
Suspek merupakan pegawai penyiasat dalam kes berkenaan dan didakwa memaksa mangsa melakukan hubungan seks sebagai dorongan untuk melepaskan mangsa. - Gambar fail
KOTA BHARU: Perintah tahanan reman ke atas seorang anggota polis yang juga pegawai penyiasat narkotik berpangkat Inspektor disambung selama tiga hari lagi bermula hari ini.
Perintah reman berkenaan dikeluarkan oleh Penolong Mendaftar Mahkamah Kota Bharu, Amni Johari di Mahkamah Majistret Kota Bharu di sini pagi tadi.
Sebelum ini anggota polis terbabit direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rogol ke atas seorang tahanan wanita berstatus ibu tunggal.
Dia yang berusia 29 tahun didakwa melakukan perbuatan tersebut semasa mangsa yang berusia 27 tahun itu ditahan di lokap bagi membantu siasatan berhubung satu kes rampasan dadah.
Mangsa yang mempunyai dua anak itu sebelum itu ditahan bersama bekas suaminya dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kota Bharu pada Jumaat lepas.
Mangsa bersama bekas suaminya itu direman di lokap balai polis Pengkalan Chepa selama tujuh hari untuk siasatan berkaitan rampasan dadah.
Jenayah | Tahanan reman Inspektor suspek rogol dilanjutkan
Suspek merupakan pegawai penyiasat dalam kes berkenaan dan didakwa memaksa mangsa melakukan hubungan seks sebagai dorongan untuk melepaskan mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabie.
#rogol #Kota Bharu #Mahkamah Majistret #inspektor polis #Mahkamah Majistret Kota Bharu
;