Dakwaan polis tidak ambil tindakan terhadap pemandu lori asing tidak benar

Bernama
Julai 7, 2022 18:30 MYT
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata ketika melaksanakan Op Motosikal Perintah Gerakan, anggota trafik telah menahan sebuah lori berwarna merah pada pukul 12.40 tengah hari. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Polis hari ini menolak dakwaan bahawa anggota cawangan trafiknya tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pemandu lori warga asing yang ditahan dalam operasi di Jalan Taman Mas, Sepang dekat sini pada Selasa lepas (5 Julai).
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata ketika melaksanakan Op Motosikal Perintah Gerakan, anggota trafik telah menahan sebuah lori berwarna merah pada pukul 12.40 tengah hari dan mendapati pemandunya yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), tidak memiliki lesen memandu yang sah.
"Anggota telah mengeluarkan saman Pol 257 no AG875372 kepada pemandu lori tersebut atas kesalahan tiada lesen memandu," katanya dalam kenyataan hari ini merujuk video tular kononnya polis tidak mengambil sebarang tindakan selepas menahan lori dipandu warga asing itu.
Video berdurasi satu minit 27 saat itu memaparkan seorang individu mendakwa polis membiarkan warga asing yang ditahan itu pergi tanpa sebarang tindakan, selain menuduh polis mengambil suapan RM300 daripada pemandu lori.
Wan Kamarul Azran berkata Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang akan menjalankan siasatan lanjut berkenaan dakwaan individu dalam video tersebut.
-- BERNAMA
#Polis Daerah Sepang #pemandu lori warga asing #Jalan Taman Mas #Sepang #Op Motosikal Perintah Gerakan
;