Dakwaan POCA zalim, tiada beza dengan ISA tidak tepat

Bernama
Ogos 21, 2017 06:33 MYT
Nur Jazlan (gambar) berkata, ISA dimansuhkan dan POCA digubal kerana POCA yang setakat ini telah dipinda sebanyak tiga kali telah ditambah baik. - Gambar fail
Dakwaan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan Jenayah (POCA) bersifat 'draconian' (zalim) dan tiada beza dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah tidak benar, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Nur Jazlan berkata malah POCA memberi hak asasi yang lebih terjamin kepada mereka yang ditahan berbanding ISA.
"Kenapa ISA dimansuhkan dan POCA dimasukkan? Kerana akta POCA yang telah kita pinda tiga kali ini telah kita tambah baik. Dulu, masa ISA menteri berkuasa sepenuhnya, dengan tandatangan seorang menteri sahaja, individu itu boleh ditahan sehingga 60 hari, menteri boleh keluarkan perintah tahanan sendiri.
"Tetapi dengan POCA pihak berkuasa boleh buat permohonan reman dua kali iaitu hari ke-21 dan 38," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 pada persidangan Dewan Negara di sini pada Isnin.
Nur Jazlan menerangkan jika ISA, tahanan hanya disiasat oleh pegawai polis sahaja tanpa 'check and balance', sebaliknya POCA memberikan hak 'right to be heard' dengan tahanan disiasat oleh beberapa anggota Lembaga Pencegahan Jenayah yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam perundangan bagi menentukan individu itu benar-benar bersalah atau tidak.
Rang undang-undang itu kemudian diluluskan.
Pindaan itu antara lain bertujuan mempercepatkan proses membuat keputusan oleh Lembaga Pencegahan Jenayah dalam sesuatu kes selain memudahkan pengurusan berkaitan tugas lembaga itu selain lembaga diberi kuasa untuk mendesak pegawai penyiasat sesuatu kes mempercepatkan penyediaan laporannya untuk tindakan selanjutnya.
Pindaan itu juga bagi melaksanakan penggunaan peranti pengawasan elektronik (EMD) ke atas orang di bawah pengawasan dan ini mengurangkan kos perbelanjaan tahanan penjara serta memupuk perasaan pencegahan dalam kalangan tahanan dan bakal penjenayah.
Persidangan dewan bersambung hari ini.
-- BERNAMA
#Akta Keselamatan Dalam Negeri #akta pencegahan jenayah #Dewan Negara #draconian #ISA #Lembaga Pencegahan Jenayah #Nur Jazlan Mohamed #pindaan #POCA
;