Dakwaan pesakit duduk atas lantai beralas kadbod tidak benar - HTAR
Bernama
Ogos 4, 2021 10:36 MYT
Ogos 4, 2021 10:36 MYT
SHAH ALAM: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang menafikan dakwaan bahawa pesakit di hospital berkenaan terpaksa duduk di atas lantai beralaskan kadbod.
Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi dalam kenyataan menerusi Facebook HTAR berkata setelah semakan dan siasatan dibuat, pihaknya mendapati tiada pesakit duduk di atas lantai atau kadbod di mana-mana kawasan di Jabatan Kecemasan dan Trauma.
"Untuk makluman, sekiranya tiada katil yang mencukupi untuk menampung jumlah mereka, pesakit akan diletakkan di kerusi atau kerusi roda buat sementara waktu," katanya.
Jelas Dr Zulkarnain, pesakit COVID-19 yang dipindahkan dari Jabatan Kecemasan dan Trauma ke wad sementara bertempat di Kompleks Rawatan Harian (ACC) pula berada dalam keadaan selesa kerana dilengkapi penyaman udara.
"Malah, jabatan berkenaan kini sedang menunggu pembukaan hospital lapangan di HTAR dijangka beroperasi dalam beberapa hari lagi bagi menampung jumlah pesakit COVID-19 yang agak ramai," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tangkap layar laporan sebuah portal berita dalam talian yang dikongsi seorang ahli politik tempatan di akaun Facebooknya yang mendakwa bekalan dan peralatan perubatan tidak mencukupi di HTAR.
-- BERNAMA
#Hospital Tengku Ampuan Rahimah
#HTAR
#pesakit
#Hospital
#lantai
#kadbod
#Dr Zulkarnain Mohd Rawi
#katil