Dakwaan peniaga daging lembu tempatan alami kerugian akibat SHMMP tidak benar

Bernama
Mei 11, 2021 19:24 MYT
KPDNHEP menafikan dakwaan kononnya peniaga daging lembu tempatan mengalami kerugian berikutan penetapan harga siling RM34.00 sekilogram (kg). - Gambar hiasan/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menafikan dakwaan kononnya peniaga daging lembu tempatan mengalami kerugian berikutan penetapan harga siling RM34.00 sekilogram (kg).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi berkata walaupun harga siling itu ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2021, namun peniaga masih mendapat keuntungan sepanjang tempoh pelaksanaan skim tersebut.
Beliau berkata penetapan harga siling itu dibuat secara seimbang hasil daripada kajian menyeluruh di semua peringkat termasuk pengeluar, pemborong dan peruncit selain memastikan semua pihak dipastikan boleh mendapat keuntungan.
"Cuma tidak dinafikan, margin keuntungan mungkin tidak seperti hari di luar pelaksanaan SHMMP ini dan seharusnya dapat ditampung oleh permintaan tinggi semasa musim perayaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Nanta berkata penetapan harga itu hanya melibatkan bahagian lembu yang menjadi pilihan sebahagian besar pengguna manakala bahagian lain seperti tulang, hati, limpa, perut, usus, ekor, daging batang pinang, daging harimau menangis dan bahagian daging dibuang urat serta lemak tidak termasuk di bawah harga siling SHMMP.
Untuk itu, katanya peniaga bebas menjual bahagian-bahagian tersebut pada harga munasabah, manakala pengguna yang ingin membeli bahagian lembu premium mesti bersedia untuk membayar pada harga premium.
"Sekiranya berlaku jualan harga runcit yang tidak munasabah atau terdapat elemen pencatutan kepada pengguna, peniaga boleh disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011)," katanya.
Menurut beliau, berdasarkan pemantauan penguat kuasa KPDNHEP terhadap pematuhan harga daging lembu tempatan peringkat runcit, terdapat peniaga yang menjual pada harga lebih rendah daripada harga maksimum ditetapkan iaitu antara RM27 hingga RM32 sekilogram.
Katanya, pemantauan dan pemeriksaan juga mendapati secara keseluruhan 99.2 peratus peniaga dari 38,299 premis peruncit serta pemborong mematuhi harga maksimum ditetapkan.
"Sehingga kini, hanya 13 peniaga dikenakan tindakan kerana menjual daging lembu melebihi harga maksimum, dengan 12 daripadanya dikenakan kompaun manakala seorang lagi masih disiasat," katanya.
-- BERNAMA
#peniaga daging lembu tempatan #kerugian #SHMMP #KPDNHEP #Hari Raya Puasa #aidlfitri #Alexander Nanta Linggi
;