Dakwaan pengabaian SOP di depot tahanan, JPBN Sarawak lakukan siasatan

Nuzuluddin Abdul Razak
Mac 19, 2021 22:30 MYT
Pihak JPBN Sarawak akan melakukan siasatan kerana tuduhan seperti itu sangat menganggu dan mengakibatkan kebimbangan orang ramai. - Gambar Astro AWANI.
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku pengabaian dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 di Depot Tahanan Imigresen Semuja, Serian.
Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai tuduhan tidak bertanggungjawab, pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya tidak pernah memandang ringan pelaksanaan SOP keselamatan COVID-19 termasuk di depot tahanan.
"Pihak JPBN Sarawak akan melakukan siasatan kerana tuduhan seperti itu sangat menganggu dan mengakibatkan kebimbangan yang serius dalam kalangan orang ramai.
"Tidak akan ada yang terlepas dari pengetahuan dan siasatan pihak kami kerana jika pengabaian itu benar-benar berlaku ia akan membahayakan kesihatan ramai,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tegas Uggah, SOP yang cukup ketat telah dilaksanakan di depot tahanan tersebut terutama melibatkan pengendalian tahanan baharu yang seharusnya dipatuhi oleh semua kakitangan Jabatan Imigresen.
“Komandan di setiap pusat tahanan dan penjara akan memastikan SOP sedia ada terus dipatuhi dengan,” katanya.
Untuk rekod Depot Tahanan Imigresesn Simuja hari ini merekodkan seramai 138 kes positif daripada 407 jumlah keseluruhan kes di Sarawak pada Jumaat.
Pada khamis kluster tersebut telah diiytiharkan sebagai Kluster Depo Imigresen Semuja dengan jumlah keseluruhan 245 kes positif direkodkan termasuk kes indeks.
Kesemua mereka telah diletakkan di Pusat Kuarantin dan Pusat Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di depot terbabit.
#Depot Tahanan Imigresen #Douglas Uggah Embas #Pengerusi JPBN Sarawak #Sarawak #Serian #Kluster Depo Imigresen Simuja
;