Dakwaan pendakwaan terpilih, SPRM nafi jadi 'alat' mana-mana parti
Rahimah Abdullah
Februari 23, 2023 11:40 MYT
Februari 23, 2023 11:40 MYT
PUTRAJAYA: Tiada pendakwaan terpilih dalam isu melibatkan pertuduhan kes Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa), ujar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuhan Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Sebaliknya tegas Azam, SPRM menjalankan siasatan secara profesional dan bergantung kepada aduan dan maklumat yang diterima.
"Apabila kita terima satu aduan, dan maklumat serta ia mengandungi unsur-unsur kesalahan jenayah terutama sekali di bawah akta kami, maka siasatan kita akan dijalankan.
"Jadi SPRM ini saya tegaskan sekali lagi, kita bukan alat mana-mana parti politik dan sebagainya.Kita menjalankan siasatan berdasarkan kepada keterangan yang ada. Jadi tiada pendakwaan terpilih dalam isu ini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Khamis.
Sebelum ini, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa parti itu menjadi mangsa 'pendakwaan terpilih' selepas Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa atas dakwaan rasuah RM6.9 juta di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu katanya, beberapa lagi kertas siasatan berhubung projek Jana Wibawa akan dibuka untuk tindakan seterusnya.
"Siasatan kita masih dijalankan. Beberapa kertas siasatan telah dibuka dan kelmarin kita telah siapkan dan telah dikemukakan kepada Peguam Negara, dan dijalankan pertuduhan.
"Ada beberapa kertas siasatan lagi masih dalam tindakan. Pegawai saya sedang menyiapkan kertas siasatan berkenaan. Bukan sahaja pemimpin, mana-mana pihak pun sekiranya terlibat dalam menerima suapan, untuk suatu perkara yang menyalahi akta kita, maka mereka akan dicadangkan pertuduhan di mahkamah.
"Sebelum ini sudah ada 3 IP (kertas siasatan). Saya rasa ada dalam 3, 4 lagi IP. Itu bergantung kepada kes-kes yang dibuka," jelasnya lagi.