Dakwaan pembalakan di Hutan Simpan Kledang Saiong akan disiasat
Bernama
Januari 17, 2022 05:45 MYT
Januari 17, 2022 05:45 MYT
IPOH: Jabatan Perhutanan Negeri Perak akan menyiasat gambar tular baru-baru ini yang mendakwa berlaku aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kledang Saiong dekat Kuala Kangsar.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata setakat ini pihaknya tidak menerima laporan berkaitan aktiviti itu dan tidak menolak kemungkinan ia adalah gambar lama.
"Saya nampak ini macam gambar lama dan kalau betul cerita baharu maka Jabatan Perhutanan akan buat siasatan. Kita kena tengok kesahihannya sebab tidak pasti betul atau tidak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Doa Selamat dan Santai Bersama Menteri Besar Perak dan Penyerahan Kit Kebun Kita kepada petani di sini, pada Isnin.
Baru-baru ini tular beberapa gambar di kawasan hutan menunjukkan batang-batang pokok ditebang dan ditarah didakwa berlaku di Hutan Simpan Kledang Saiong.
Beliau berkata jika wujud pembalakan haram, tindakan undang-undang sewajarnya boleh dikenakan terhadap pihak terlibat.
"Kalau betul ia berlaku dan dia (pihak terlibat) didapati mencuri balak, besar hukuman dia, dia boleh didakwa dan dihukum. Kawasan pembalakan perlu lesen yang dikeluarkan berasaskan kepada kelulusan yang dibuat oleh jawatankuasa hasil hutan.
"Ia diluluskan, baru dia dapat lesen kemudian baru dia bawa keluar kayu. Kalau tiada, itu dikira mencuri kayu," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai arahan pengosongan tanah kepada petani di Kanthan dan Tanah Hitam, Chemor di sini oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PNKP), Saarani berkata pihaknya sedang menunggu arahan mahkamah.
"Ia sudah menjadi kes mahkamah jadi tunggu arahan mahkamah. Perundingan telah dibuat tetapi tidak nampak jalan untuk mereka selesaikannya secara rundingan," katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri perlu membuat persiapan bagi menyediakan prasarana di kawasan itu termasuk membangunkan Silver Valley Technology Perak (SVTP) berikutan banyak permintaan diterima daripada pelabur luar.
Katanya SVTP merupakan satu daripada taman perindustrian yang dicadangkan untuk kegunaan pelabur dan pembangunannya akan disegerakan mengikut jadual kerana ia adalah permintaan dan keperluan.
SVTP merupakan satu taman perindustrian baharu di Chemor dan dijangka memacu sektor pembuatan berteknologi tinggi serta bertindak sebagai pemangkin Revolusi Industri 4.0.
Isu pengusiran petani di Kanthan dan Tanah Hitam pernah dibangkitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Disember lepas.
-- BERNAMA