Dakwaan pemarkahan SPM diturunkan tidak benar - Fadhlina

Madiha Abdullah
Jun 20, 2023 19:45 MYT
Fadhlina berkata perkara itu tidak benar kerana pihak kementerian sudah mempunyai standard tertentu bagi sistem pemarkahan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Dakwaan mengatakan Kementerian Pendidikan (KPM) menurunkan pemarkahan pelajar dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanyalah spekulasi pihak tidak bertanggungjawab semata-mata.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan perkara itu tidak benar kerana pihak kementerian sudah mempunyai standard tertentu bagi sistem pemarkahan peperiksaan tersebut.
"Dakwaan itu tidak betul kerana KPM mempunyai piawaian tertentu (dalam pemarkahan) dan kita sangat menjaga piawaian berkenaan.
"KPM harus berlaku adil dalam pemarkahan dan ia harus mengikut merit dan standard yang telah digunakan selama ini," katanya selepas melancarkan Program Pemerkasaan Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, pada Selasa.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai analisis pemarkahan SPM yang didakwa diturunkan sehingga menjejaskan pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) untuk mengejar silibus pembelajaran.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina memaklumkan tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), semakin meningkat.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ini dapat dilihat melalui keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru-baru ini.
"Kita dapat lihat bukan sahaja menerusi program dan aktiviti tetapi juga keputusan SPM baru-baru ini yang menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam penguasaan bahasa Melayu
"Peningkatan yang ditunjukkan cukup ketara dan kita harap prestasi ini dapat ditingkatkan dari masa ke semasa," ujarnya.
#Fadhlina Sidek #Kementerian Pendidikan #SPM #pemarkahan
;