Dakwaan pemandu 'mabuk' punca nahas di Klebang, polis tunggu laporan kimia

Astro Awani
Disember 1, 2021 12:14 MYT
Polis Melaka sedang menunggu laporan ujian darah pemandu yang terbabit dalam nahas melibatkan dua kereta dan tiga motosikal dalam kejadian di Jalan Klebang, di sini, awal pagi Isnin lalu. -Facebook Cobra King
KLEBANG: Polis Melaka sedang menunggu laporan ujian darah pemandu yang terbabit dalam nahas melibatkan dua kereta dan tiga motosikal dalam kejadian di Jalan Klebang, di sini, awal pagi Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata pengesahan Jabatan Kimia berhubung dakwaan lelaki berusia 42 tahun itu mabuk ketika memandu diperlukan untuk melengkapkan siasatan.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 pagi Isnin itu, mangsa Abdul Rahim Mohamad, 52, yang juga kakitangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta jenis Proton Wira dipandunya dirempuh kereta Nissan Teana dari arah bertentangan.
Kejadian itu mengakibatkan kenderaannya berpusing dan melanggar tiga lagi motosikal dari arah sama.
Bagaimanapun kesemua mangsa termasuk tiga anaknya yang turut berada dalam kenderaan sama terselamat dan mengalami beberapa kecederaan.
“Siasatan awal polis mendapati pemandu Nissan Teana itu dari arah Limbongan menghala ke Klebang hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kereta dipandu mangsa.
"Selepas pertembungan itu, kenderaan mangsa telah berpusing sebanyak sekali dan melanggar tiga lagi motosikal yang berada di laluan itu,” katanya ketika dihubungi.
Kejadian yang mengorbankan mangsa yang juga Pengerusi Surau Beting itu tular di laman sosial apabila didakwa dirempuh pemandu mabuk ketika dalam perjalanan balik ke rumah selepas mengambil anaknya pulang bekerja.
Mengulas lanjut, Hasan Basri berkata, pemandu lelaki yang didakwa mabuk itu masih dirawat di Hospital Melaka dan berada dalam keadaan stabil.
Jelasnya, pihak polis tidak menahan lelaki berkenaan sementara menunggu pengesahan ujian alkohol dan dadah di dalam darah oleh Jabatan Kimia.
"Sama ada pemandu itu mabuk atau tidak belum dapat dipastikan kerana ketika polis sampai ke lokasi kejadian, lelaki yang juga cedera dan patah kaki kanan itu telah dibawa ke Hospital Melaka.
"Memandangkan lelaki itu menerima rawatan di hospital, ujian darahnya telah dihantar ke Jabatan Kimia dan pihak polis masih menunggu keputusan itu,” tambahnya.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#pemandu mabuk #Jabatan Kimia #laporan ujian darah #Jalan Klebang
;