Dakwaan 'pelarian' Malaysia terkandas di Jerman masih dalam siasatan - KP Imigresen

Isabelle Leong
Mei 13, 2018 08:37 MYT
Lily (kanan) mendakwa bahawa dia merupakan pelarian Malaysia yang terlibat dengan isu penyeludupan manusia dan telah terkandas di Eropah selama enam tahun. - YouTube/Polaris Northern Star
Isu wanita yang mendakwa dirinya merupakan seorang 'pelarian' Malaysia yang terkandas di Jerman, sedang dalam siasatan pihak berkuasa, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali.
Menurutnya, pihaknya sedang meneliti kes tersebut di mana seorang wanita bernama Lily mendakwa terlibat dengan penyeludupan manusia dan telah terkandas di Eropah selama enam tahun.
“Memang dia kata dia warga Malaysia dan menunjukkan pasport (Malaysia). Tetapi dia tidak memberikan sebarang perincian seperti nombor pasportnya.
“Kami tidak dapat mengesan sebarang rekod lagi kerana tidak mempunyai maklumat yang mencukupi,” kata Mustafar ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.
Lily yang turut menggunakan nama samaran 'Polaris Northern Star', memuat naik rakaman video ke laman YouTube pada 9 Mei lalu, mendakwa dia merupakan 'pelarian' warga Malaysia.
Video tersebut menjadi tular dan sehingga Ahad, mempunyai lebih 370,000 tontonan.
Lily yang mengakui berdarah kacukan Melanau, Cina dan Belanda menujukan video tersebut kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dia merayu bantuan dan menyatakan hasratnya untuk pulang ke tanah air selepas gagal mendapat bantuan Kedutaan Malaysia di Eropah.
#eropah #Jerman #Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia #Lily #Malaysia #Mustafar Ali #pelarian #penyeludupan manusia #Perdana Menteri #Polaris Northern Star #Tun Dr Mahathir Mohamad
;