Dakwaan pegawai tertinggi KKM buat kecoh ketika terima rawatan tidak berasas

Sinar Harian
Januari 13, 2025 18:00 MYT
Sebelum ini sebuah akaun di Telegram mendedahkan kekecewaan seorang pegawai perubatan kanan yang bertugas pada ketika itu berikutan kekecohan yang dilakukan pegawai tertinggi KKM. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWP) menyifatkan dakwaan pegawai tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencetuskan kekecohan sewaktu menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya, 4 Januari lalu adalah tidak berasas.
Malah kata JKWP, naratif yang disampaikan itu dipercayai bertujuan untuk memburukkan nama baik dan menjatuhkan kredibiliti pegawai berkenaan.
"Merujuk kepada hantaran yang tular di aplikasi Telegram bertarikh 10 Januari 2025 mengenai seorang pegawai tinggi KKM yang hadir untuk mendapatkan rawatan pada 4 Januari di Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya.
"Siasatan terperinci telah dijalankan dan mendapati bahawa individu berkenaan telah hadir ke jabatan berkenaan pada tarikh tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
JKWP berkata, KKM menggalakkan mana-mana pihak untuk melaporkan sebarang maklum balas seperti aduan, penghargaan, pertanyaan serta cadangan berkenaan perkhidmatan KKM melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) https://moh.spab.gov.my/.
"Sistem SisPAA diuruskan secara bebas dan tidak bertanggungjawab kepada Ketua Pengarah Kesihatan atau Jabatan Kesihatan Negeri dan akan menguruskan aduan yang diterima mengikut prosedur yang
ditetapkan," katanya.
Sebelum ini sebuah akaun di Telegram mendedahkan kekecewaan seorang pegawai perubatan kanan yang bertugas pada ketika itu berikutan kekecohan yang dilakukan pegawai tertinggi KKM.
Dakwa doktor berkenaan, pegawai tertinggi KKM itu mahu berjumpa dengan ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya tanpa mengikut prosedur.
Pegawai wanita itu kemudiannya turut didakwa membuat kecoh kerana tidak berpuas hati berikutan tidak dilayan sebagai VVIP sewaktu menerima rawatan. -- Sinar Harian
#pegawai tertinggi KKM #cetus kekecohan #Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya #hospital putrajaya
;