Dakwaan paras air empangan Timah Tasoh di paras bahaya tidak benar - JPS Perlis
Bernama
November 10, 2016 21:57 MYT
November 10, 2016 21:57 MYT
Dakwaan mengenai paras air di Empangan Timah Tasoh kini berada pada paras berbahaya adalah tidak benar, kata Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis.
Mohamad Nor Hafiz Noor Azmi berkata paras air di empangan itu ketika ini berada pada paras berjaga-jaga iaitu 29.32 meter berbanding paras kritikal 29.60 meter.
"Memang kita melakukan pelepasan air di dua daripada enam pintu air empangan sejak 1 November lepas. Ia dibuat secara terkawal bagi mengelakkan air meningkat lebih tinggi berikutan kedatangan hujan pada setiap petang kebelakangan ini.
Taburan hujan yang turun di Perlis juga didapati masih terkawal iaitu mencatatkan bacaan kira-kira tujuh milimeter (terendah pada 4 November) hingga 94 milimeter (tertinggi pada 6 November)," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Mohamad Nor Hafiz berkata demikian sebagai mengulas dakwaan segelintir pihak tentang pelepasan air di pintu empangan kerana paras air di tahap kritikal serta akan menyebabkan kejadian banjir besar di beberapa kawasan berdekatan.
Menurutnya hujan di bawah 100 milimeter mempengaruhi kenaikan paras empangan secara minimum. Bagi mencapai paras 29.60 meter (paras kritikal) memerlukan hujan berterusan selama 30 hari tanpa pelepasan air dari mana-mana pintu empangan dibuat.
Sehubungan itu beliau meminta agar penduduk tidak panik kerana langkah melepaskan air (secara terkawal) sebaliknya bertujuan bagi mengelakkan banjir besar seperti yang pernah berlaku pada penghujung tahun 2010.
"Pelepasan air terkawal dibuat pada bukaan 200 milimeter bagi setiap pintu air dan akan dihentikan sekiranya paras air di empangan kembali kepada bacaan normal 29.10 meter," katanya.
Selain itu katanya projek Lencongan Banjir Barat (LBB) yang hampir siap bagi pengaliran air berlebihan dari empangan Timah Tasoh ke perairan Selat Melaka di Kuala Perlis itu bakal mengatasi masalah banjir di sekitar kawasan Tebing Tinggi di Kangar apabila musim hujan.
Pembinaan terowong LBB itu dijangka siap sepenuhnya pada Mac tahun hadapan serta akan memudahkan aliran air daripada empangan Timah Tasoh terus ke laut di Kampung Wai, Kuala Perlis, seterusnya mengatasi masalah banjir pada musim hujan, katanya.
"Kawasan yang sering terjejas banjir jika musim hujan seperti di Tebing Tinggi hanyalah bersifat sementara kerana keadaan kawasan berkenaan agak rendah dan projek LBB masih dalam pembinaan.
Banjir atau 'air bertakung' yang sering kali menghantui penduduk di kawasan terbabit boleh diatasi secara lebih berkesan selepas projek LBB siap sepenuhnya nanti," katanya. -- BERNAMA