Dakwaan Najib kadar hutang negara kepada KDNK lepasi siling 60 peratus tidak benar - Tengku Zafrul
Firdaus Azil
Mac 18, 2021 14:43 MYT
Mac 18, 2021 14:43 MYT
PUTRAJAYA: Kadar hutang negara kepada Keluaran Kasar Dalam Negara (KNDK) masih belum melepasi kadar siling 60 peratus, seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, berdasarkan unjuran kementerian, kadar hutang masih belum melepasi kadar siling tersebut, biarpun mengambil kira tambahan suntikan fiskal RM11 bilion seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
Jelasnya lagi, buat masa kini kadar hutang kepada KDNK pada bulan Februari ialah 54 peratus, dan unjuran pada hujung tahun ini ialah 58.5 peratus.
“Pertama sekali, jumlah hutang statutori kita sekarang pada tahun ini dijangka dalam lingkungan 58.5 peratus KDNK. Ini masih lagi di bawah had statutori 60 peratus di bawah akta yang disebut tadi. Kita telah naikkan dari 55 ke 60 dan kita rasa, berdasarkan unjuran, adalah 58.5 peratus.
“Manakala jumlah hutang keseluruhan, jika dilihat dari keseluruhan KDNK, kerana ada dua definisi - salah satunya adalah definisi undang-undang yang sekitar 54 peratus. Tapi kalau kita lihat daripada keseluruhan jumlah hutang ia pada paras 57.8 peratus.. masih lagi di bawah 60 peratus,” katanya lagi.
“Tetapi pada sekarang kalau anda mahu jawapannya hari ini, apakah peratusannya, hutang kepada KDNK pada akhir bulan Februari - adalah 54 peratus. Saya tak tahu mana dia (Najib) dapat 62 peratus itu,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika diminta menjawab persoalan dibangkitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya kadar hutang negara telah melepasi paras yang ditetapkan atau tidak.
Terdahulu, Najib, yang juga bekas Menteri Kewangan, mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah melanggar had statutori hutang langsung yang dinaikkan sendiri dan tersalah membuat unjuran fiskal.
Dalam catatan di Facebooknya, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pada bulan Ogos tahun lepas, kerajaan PN telah meluluskan kenaikan had hutang negara kepada KDNK ke 60 peratus di Parlimen, dan mengakui mengakui nisbah hutang negara kepada KDNK sudah naik ke 62.2 peratus pada akhir tahun 2020.
“Tapi pada masa yang sama kerajaan PN pula kata nisbah 62.2 peratus tidak menyalahi had 60 peratus yang ditetapkan sendiri.
“Saya telah beberapa kali tulis tentang penipuan had limit hutang ini dan saran kepada kerajaan untuk kurangkan hutang negara supaya di bawah had 60 peratus diluluskan parlimen atau mengusulkan kenaikan had hutang sekali lagi ke 65 peratus agar kerajaan tidak menyalahi peraturan serta undang-undang sendiri dan tidak menghina Parlimen,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, penetapan kadar had hutang negara kepada KDNK mengandungi tiga instrumen - Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB), yang mana, beliau berkata ia masih di bawah kawalan.
Selain itu, beliau berkata, berdasarkan suntikan fiskal yang diumumkan, kerajaan mengunjurkan defisit fiskal akan meningkat kepada 6 peratus untuk 2021, berbanding ramalan awal 5.4 peratus.
#Kadar hutang negara
#Keluaran Kasar Dalam Negara
#KDNK
#Menteri Kewangan
#Zafrul Tengku Abdul Aziz
#Muhyiddin Yassin
#Najib Razak