Dakwaan miliki rumah RM20 juta, Nurulhidayah akan buat laporan polis

Sinar Harian
September 11, 2023 12:08 MYT
Nurulhidayah menafikan fitnah tersebut dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Anak kepada Presiden UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid akan membuat laporan polis terhadap terhadap Chegu Bard ataupun nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin susulan dakwaan beliau memiliki kediaman mewah berharga RM20 juta di Country Heights, Kajang, Selangor.
Anak sulung Ahmad Zahid itu turut menafikan fitnah tersebut dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan.
“Saya mendapati satu fitnah yang teruk buat diri saya dan keluarga, saya difitnah mempunyai rumah bernilai RM20 juta di Country Heights, Kajang.
"Oleh itu, saya ingin menafikan sekeras-kerasnya wallahi, wabillahi, watallahi, ia bukan rumah milik saya mahu pun mana-mana milik ahli keluarga saya,” katanya dalam ciapan di aplikasi X pada Isnin.
Nurulhidayah berkata, dia mendapat tahu mengenai fitnah yang dilemparkan terhadapnya itu malam Ahad selepas pulang dari Johor.
"Saya mendapat WhatsApp yang ada link kepada satu hantaran daripada TikTok Chegu Bard dan ia adalah fitnah teruk buat saya dan keluarga.
"Dengan ini saya memohon agar Allah membalas segala perbuatan itu dengan setimpal. Bagi saya ia adalah satu fitnah melampau," jelasnya. - Sinar Harian
#Nurulhidayah #Zahid Hamidi #rumah RM20 juta #Chegu Bard
;