Dakwaan miliki bom tangan dan senjata, pemandu lori tukar pengakuan
Bernama
Oktober 21, 2016 13:55 MYT
Oktober 21, 2016 13:55 MYT
Seorang pemandu lori yang didakwa memiliki sebutir bom tangan, sepucuk pistol dan 24 butir peluru hidup tanpa lesen serta dikaitkan dengan kumpulan pengganas Daish menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Pengakuan itu dibuat Syed Amir Asyraf Syed Hamdan, 20, selepas tiga pertuduhan di bawah Akta Senjata Api terhadapnya dibacakan semula oleh jurubahasa di hadapan Hakim Harith Sham Mohamed Yasin.
Tertuduh sepatutnya dijatuhkan hukuman pada hari ini selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 23 Sept lepas.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Sungai Merab Luar, Bandar Baru Bangi, dekat sini antara 9 Jan dan 27 Ogos lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki bom tangan dan sepucuk pistol, yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan memiliki 24 butir peluru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun dan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 Nov ini sebagai tarikh sebutan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Fadzlan Mohd Noor manakala tertuduh diwakili peguam Azamuddin Abd Aziz. -- BERNAMA
#Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971
#bom tangan
#daish
#menukar pengakuan
#pemandu lori
#pistol