Seorang pelajar lelaki tingkatan enam yang sebelum ini membuat pengakuan memiliki dua butir bom buatan sendiri dan dipercayai akan digunakan untuk serangan di pesta arak `Better Beer Festival 2017’ Oktober lalu, menukar pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, di sini hari ini.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Pada 5 November lalu, tertuduh, Mohd Hafizi Mat Jusoh, 19, yang juga calon Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) membuat pengakuan bersalah namun menukarnya hari ini selepas melantik peguam Ariff Azami Hussein.

BACA: Pelajar tingkatan 6 mengaku bersalah miliki bom tangan


Mengikut pertuduhan, pelajar sekolah menengah di Sri Aman itu didakwa memiliki dua butir bom improvised explosive device (IED) dengan menyalahi undang-undang di sebuah rumah di Kampung Merkang, Pasir Puteh, pukul 6.05 petang, pada 10 Oktober lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang membawa hukuman penjara hingga 14 tahun dan sebatan minimum enam kali.

Tertuduh dipercayai terbabit dengan aktiviti kumpulan pengganas sejak berusia 12 tahun itu turut berdepan empat pertuduhan lain iaitu terbabit dengan aktiviti pengganas Daish.

Empat pertuduhan berkenaan, masing-masing ialah memiliki gambar, video dan dokumen, memaparkan bahan berkaitan kumpulan pengganas, memberi latihan menerusi aplikasi ‘whatsapp’ dan hadir di tempat latihan pengganas Daish.

Bagi kesalahan berkenaan, dia didakwa mengikut seksyen 130jb(1)(a), seksyen 130jb(1)(b), 130f(a) dan seksyen 130fb(1)(a).

Di mahkamah yang sama, dua tertuduh lain, Azmi Ahmad Rosli, 24, yang juga bekas anggota tentera berdepan tiga pertuduhan iaitu seksyen 130fa (a) kerana menerima latihan pengganas melalui whatsapp, seksyen fb (1) (a), dan seksyen 130jb (1) (a) serta buruh, Mahadi Ibrahim, 34 tahun, dua pertuduhan mengikut seksyen 130fa (a), serta seksyen 130fb (1) (a).

Pertuduhan membabitkan seksyen 130f adalah pertama kali dituduh di negara ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor.

Mahkamah menetapkan 11 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.