Dakwaan Melayu, Islam terancam taktik pembangkang tutup keburukan - Tun M
Bernama
Mei 8, 2019 05:24 MYT
Mei 8, 2019 05:24 MYT
Dakwaan umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini terancam di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) merupakan taktik pihak pembangkang untuk menyelamatkan diri daripada keburukan yang mereka lakukan.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata dakwaan itu dimulakan oleh parti yang tewas dengan mencari isu yang paling mudah (senang mempengaruhi) iaitu berkaitan Melayu dan Islam untuk mengalih perhatian masyarakat.
"Ini dimulakan oleh parti yang kalah, mereka mencari sasaran mengkritik dengan keras untuk mengalih fikiran rakyat kepada diri mereka.
Dr Mahathir turut mempersoalkan tindakan pembangkang (Barisan Nasional) yang dahulu tidak berbuat apa-apa untuk Islam termasuk menghapuskan peluang-peluang orang Melayu.
Sebaliknya beliau berkata pembangkang menuduh kerajaan baharu yang didakwa tidak membela kedudukan orang Melayu dan agama Islam.
"Mereka memberi (keuntungan) kepada kroni dan sebagainya, itu menjadi asas masalah yang kita hadapi sekarang, tetapi mereka seolah-olah bersih belaka, tak berdosa sama sekali," katanya.
Dr Mahathir turut menyatakan tiada sebarang isu yang berbangkit mengenai Melayu dan Islam sepanjang PH menjadi kerajaan.
Malah katanya orang luar turut mengagumi dan mahu menjadi seperti umat Islam di Malaysia"Kita dapati pelawat-pelawat dari Arab misalnya mereka mengagumi dan berkata bolehkah kita menjadi seperti Malaysia?
Mereka menganggap kita sebagai contoh yang baik, yang tak anggap kita (kerajaan) sebagai contoh yang baik berkenaan Melayu dan Islam ialah parti lawan (pembangkang), mereka cari isu supaya mereka dapat menutup keburukan yang telah mereka lakukan," katanya.