Dakwaan MCMC sekat akses portal berita antarabangsa tidak benar

Bernama
Ogos 25, 2021 11:32 MYT
MCMC menggesa orang ramai sentiasa menilai intipati sebarang mesej yang diterima, dan berhenti berkongsi berita belum ditentukan kesahihannya.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menafikan dakwaan berhubung satu mesej di aplikasi WhatsApp, yang kononnya agensi itu menyekat akses kepada artikel terbitan portal berita antarabangsa.
MCMC dalam kenyataan hari ini menegaskan, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan berniat untuk mengelirukan pengguna internet di Malaysia.
Kenyataan itu menyatakan, penelitian mendapati pautan-pautan (URL) berita dari portal seperti Nikkei Asia, Yahoo News!, Reuters, Al-Jazeera, The Guardian dan Washington Post secara sengaja atau kebetulan diubah suai atau dipendekkan.
"Tindakan itu sekali gus menyebabkan sebarang klik pada pautan-pautan tersebut akan membawa pengguna ke halaman yang menunjukkan seperti artikel tersebut tidak lagi wujud.
"Penelitian turut mendapati artikel-artikel berkenaan masih wujud, boleh diakses dan tidak dipadamkan atau diturunkan oleh portal-portal berita berkenaan seperti yang didakwa," menurut kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, MCMC menggesa orang ramai untuk sentiasa menilai intipati sebarang mesej yang diterima, dan berhenti berkongsi berita belum ditentukan kesahihannya.
-- BERNAMA
#tidak pasti jangan kongsi #MCMC #sekat akses #portal berita antarabangsa
;