Dakwaan lelaki dipukul, diacu pistol oleh anggota polis akan disiasat - Ketua Polis Pahang

Fareez Azman
Februari 8, 2021 04:31 MYT
Abd Jalil memaklumkan pihaknya akan menyiasat laporan dibuat lelaki berusia 29 tahun itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Polis akan menyiasat dakwaan seorang lelaki bahawa dia dipukul dan diacu pistol oleh anggota polis ketika ditahan di Jalan Muadzam Shah, Pahang pada 24 Januari lalu.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan memaklumkan pihaknya akan menyiasat laporan dibuat lelaki berusia 29 tahun mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
"Pengadu bergerak ke Johor Bahru menaiki kereta miliknya melalui Jalan Kuantan-Segamat untuk pergi ke Johor Bahru.
"Ketika memandu di kawasan Muadzam Shah, pengadu ditahan tiga hingga empat anggota polis pada 2 pagi," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Tambahnya, lelaki terbabit mendakwa dipukul dengan tangan serta kaki oleh anggota polis di tepi jalan sebelum ditahan dan direman selama empat hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin.
"Hasil siasatan mendapati pengadu ditahan pada 24 Januari lalu oleh sepasukan anggota polis dari Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.
"Lelaki itu dipercayai menjadi 'tonto' dengan cuba menghalang kenderaan CPSK (Cawangan perisikan dan siasatan khas) yang mengejar lori disyaki membawa muatan barangan seludup di kawasan Jalan Muadzam Shah," katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, peguam yang mewakili lelaki terbabit, Farhan Maaruf memberitahu media bahawa pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jelasnya, ia selepas anak guamnya dikasari anggota polis yang menahannya pada 24 Februari lalu.
"Mengikut fakta dimaklumkan anak guam saya, cara dia dikasari pegawai polis pada malam itu, mengeluarkan satu warning shot dan menyeret dia ke dalam hutan dan memukulnya beramai ramai.
"Anak guam saya adalah seorang remaja. Di bawah undang-undang, dia masih seorang pesalah muda dan tidak mempunyai sebarang senjata ketika ditangkap," katanya dalam satu sidang media pada Isnin.
Tambah Farhan, satu laporan polis juga telah dibuat 27 Januari lalu di Balai Polis Nenasi.
#PDRM #undang-undang #Polis Diraja Malaysia #Mahkamah Majistret #tembakan #penjawat awam #Pahang #Rompin #Kuantan #lelaki #didakwa #Acu pistol #Tembakan ke udara #penyeludupan rokok haram #peguam #Jalan Muadzam Shah
;