Dakwaan Kursus Dakwah Harmoni ancam akidah tidak bersandar fakta sebenar - Mohd Na'im
Bernama
Ogos 2, 2024 23:35 MYT
Ogos 2, 2024 23:35 MYT
KUALA LUMPUR: Kursus Dakwah Harmoni dikendalikan Global Unity Network Unity (UNITY) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang didakwa mengancam akidah anak bangsa adalah tohmahan tidak bersandarkan fakta sebenar, kata Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata pihaknya amat kesal dengan tohmahan dibuat seorang ahli politik berhubung perkara berkenaan yang hanya bertujuan memburukkan imej dan komitmen kerajaan dalam menjayakan agenda mengukuhkan kedudukan Islam dan pembangunan ummah di negara ini.
"Program berkala ini adalah sebahagian daripada siri latihan peningkatan kefahaman dan kemahiran dakwah yang bermatlamat meningkatkan kepakaran dakwah kepada guru-guru bagi membolehkan mereka memberikan kefahaman sebenar tentang ilmu berkaitan agama lain dan perbandingannya kepada komuniti dan generasi muda," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata pihaknya dimaklumkan sepanjang Lawatan Harmoni Terbimbing, tiada penglibatan dalam amalan upacara keagamaan kerana ia bukan program terbuka kepada umum, tetapi untuk para peserta yang terlatih dalam bidang dakwah dan perbandingan agama.
Mohd Na'im berkata lawatan itu juga memberi ruang dan peluang kepada guru agama dakwah berdialog dan menyampaikan mesej agama Islam yang sebenar serta sejagat demi memelihara kesejahteraan dan keharmonian tamadun insan.
Malah beliau berkata penganjuran kursus menerusi pendekatan dialog antara tamadun juga bukanlah inisiatif baharu tetapi telah dilaksanakan dengan jayanya sejak lima tahun lepas.
"Sesungguhnya negara kita memerlukan lebih ramai guru agama dakwah yang berilmu dan berkepakaran tinggi dalam bidang ilmu agama dan perbandingannya demi memelihara jati diri aqidah dan sahsiah terutama dalam kalangan generasi muda dan masyarakat Islam," katanya.
Sebelum ini tular klip video berdurasi 6.35 minit yang memaparkan kunjungan delegasi dari JAIPk ke Kuil Sri Maha Mariamman Kampung Kasipillay di sini.
JAIPk dalam kenyataan hari ini menjelaskan program lawatan melibatkan 32 peserta terpilih dari seluruh negeri Perak itu adalah sebahagian daripada pengisian kursus untuk melatih dan meningkatkan keyakinan peserta dalam menyampaikan dakwah terutamanya bagi membetulkan banyak salah faham mengenai Islam.
-- BERNAMA