Dakwaan kerjasama Pakatan Harapan dengan IRI perlu disiasat - Najib
Firdaus Azil
Ogos 7, 2018 18:28 MYT
Ogos 7, 2018 18:28 MYT
Perlu ada siasatan rapi mengenai dakwaan yang mengatakan Pakatan Harapan telah bekerjasama dengan sebuah badan pemikir berpangkalan di Washington, iaitu Institut Republikan Antarabangsa (IRI) untuk menjatuhkan kerajaan sebelum ini.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sekiranya dakwaan ini benar, ia lebih serius berbanding surat yang dihantar Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid ke Agensi Perisikan Pusat (CIA) sebelum pilihan raya umum lepas.
"Sepatutnya ada siasatan penuh oleh Kerajaan, kerana awak menuduh Datuk Hasanah sebagai pengkhianat. Ini jauh lebih teruk kerana dakwaan ini mengatakan terdapat gangguan terus terhadap proses pengundian kita.
"Seperti yang anda tahu, di Amerika Syarikat, mereka melantik pendakwa raya khas untuk menyiasat sama ada betul atau tidak Rusia masuk campur dalam pilihan raya mereka. Tetapi kini ada pengakuan secara terbuka bahawa mereka bekerja sejak 2002 untuk menukar kerajaan (Barisan Nasional)," katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen, di sini hari ini.
Tambahnya, kerajaan tidak sepatutnya membenarkan campur tangan asing dalam hal ehwal negara.
Dalam satu forum bulan lepas, Pengarah IRI, Daniel Twining berkata institusi itu telah bekerja dengan barisan pembangkang di Malaysia sejak 2002, termasuk dengan Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Umum ke-14.