Dakwaan kerajaan Sabah halau pekerja SFI palsu, tidak berasas - JTU
Bernama
September 24, 2022 06:45 MYT
September 24, 2022 06:45 MYT
KOTA KINABALU: Dakwaan oleh portal media bahawa pekerja Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) dihalau oleh Kerajaan Negeri Sabah adalah palsu dan langsung tidak berasas, kata Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah Bernard Liew Chau Min.
Beliau berkata susulan kerajaan negeri mengambil semula tanah yang diberikan kepada SFI, prosedur piawaian bagi kerajaan negeri adalah untuk memberikan notis kerajaan kepada SFI tentang pengambilan semula itu seterusnya memiliki dan mengawal tanah berkenaan.
Liew menjelaskan pekerja dan kakitangan am SFI yang masih tinggal di dalam premis di kawasan itu masih boleh kekal berada di sana dan akan diserap semula sebagai pekerja sekiranya mereka mahu, di bawah skim kerajaan negeri untuk pembangunan hutan balak yang mampan.
"Setelah penerbitan kedua Gazet di bawah Seksyen 3 Ordinan Pengambilan Tanah, Bab 69, pemilik-pemilik tanah yang terlibat atau pihak yang berkepentingan dimaklumkan dan diberikan notis mengenai pengambilan tanah itu.
"Struktur dan bangunan dalam tanah itu, bebas daripada sebarang bebanan diberikan hak kepada kerajaan dan akan dianggap telah diserahkan oleh pemilik sah atau pihak berkepentingan, justeru pemilikan kosong dianggap telah diberikan kepada kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan semalam.
Liew berkata isu mengenai gaji tertunggak pekerja juga akan ditangani dan diselesaikan dengan adil dan saksama dengan cara yang akan mencerminkan pekerja SFI yang berkemahiran dan sumbangan mereka kepada ekonomi negeri.
Pada 14 Sept lepas, seorang pemimpin pembangkang mendakwa bahawa susulan notis pengambilan tanah yang dikeluarkan oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah kepada SFI pada 5 Sept, pekerja dan penduduk tempatan perlu mengosongkan kediaman, menyebabkan mereka akan kehilangan sumber pendapatan utama.
Sebuah portal pula semalam mendakwa kira-kira 600 pekerja SFI yang diberhentikan kerja perlu mengosongkan kuarters di bekas kilang kertas dan estet itu pada akhir Oktober ini berikutan langkah kerajaan negeri mahu mengambil semula tanah itu.
-- BERNAMA