Dakwaan Kerajaan Perpaduan anak tirikan negeri pembangkang tidak berasas - Penganalisis
Bernama
Mei 1, 2023 20:15 MYT
Mei 1, 2023 20:15 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan terus meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan termasuk di negeri yang ditadbir pembangkang selaras dengan semangat gagasan Malaysia MADANI.
Beberapa penganalisis politik menyifatkan adalah tidak berasas dakwaan kononnya empat negeri yang ditadbir pembangkang iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu dianaktirikan oleh kerajaan pusat termasuk dalam soal pembangunan.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata komitmen kerajaan itu dilaksanakan tanpa berat sebelah bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat sentiasa didahulukan.
"Kerajaan Persekutuan sentiasa berusaha membina hubungan baik dengan kerajaan negeri yang diterajui pembangkang dengan niat untuk memastikan nasib rakyat akan terus dapat dipelihara dan mereka dapat menikmati pelbagai faedah.
"Perlu ditekankan peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan bukanlah (untuk) tujuan politik, sebaliknya demi kepentingan rakyat contohnya apa juga isu yang berbangkit tentang pembangunan, malapetaka (dan) pendidikan pasti diberikan bantuan tanpa menilai negeri tersebut ditadbir oleh siapa," katanya kepada Bernama.
Beliau yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM turut memberi contoh bahawa Kerajaan Persekutuan pernah mengumumkan bantuan segera sebanyak RM100 juta kepada Kelantan dan Terengganu yang dilanda banjir teruk pada Disember tahun lepas.
Malah, kerajaan juga bersetuju menambah projek Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Golok, Kelantan, berikutan masalah banjir yang sering dialami negeri di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN) itu, katanya.
Pada 28 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan pihak tertentu bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau 'menganaktirikan' negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang.
Sebaliknya, Perdana Menteri berkata kerajaan telah meningkatkan peruntukan kepada negeri terbabit termasuk Kedah, yang kini ditadbir oleh PN.
Penganalisis politik daripada Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali pula berpandangan peruntukan yang diberikan kepada kerajaan negeri adalah bersesuaian dan rasional dengan keperluan semasa sesebuah negeri.
Beliau berkata berdasarkan Belanjawan 2023 juga, setiap kerajaan negeri mendapat bajet mengikut keperluan, adil dan tiada unsur pengabaian terhadap mana-mana negeri termasuk yang diterajui pembangkang.
"Naratif yang mengatakan bahawa kerajaan pusat menganaktirikan negeri pembangkang hanya cakap-cakap politik dan tidak berdasarkan data sebenar.
"Kalau ikut fakta Belanjawan 2023, peruntukan untuk negeri-negeri termasuk pembangkang ditambah dan bantuan kepada rakyat sudah terangkum walaupun tidak disalurkan terus kepada wakil rakyat di sesebuah kawasan," katanya.
Mazlan berkata selain itu, Perdana Menteri juga sebelum ini menyatakan Kedah yang diterajui PN tetap diberikan tumpuan oleh kerajaan Persekutuan, apabila menerima peruntukan perbelanjaan yang tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya, yang mencecah RM1.6 bilion untuk tahun ini.
Beliau pada masa sama menasihatkan kerajaan negeri supaya sentiasa berhemah menggunakan peruntukan yang diberikan dengan mendahulukan keperluan dan kepentingan rakyat.
"Kita sedar kerajaan kini menguar-uarkan konsep berjimat cermat, Perdana Menteri tidak ambil gaji malah beliau arah pemasangan papan iklan (billboard) baharu yang memaparkan wajahnya dan Malaysia MADANI yang menggunakan peruntukan kerajaan dihentikan serta-merta.
"Ini semua bagi mengelak pembaziran. Jadi mana yang tidak mendesak seperti pengubahsuaian pejabat baharu atau sebagainya, perlu ditangguh dahulu dan (perlu) fokus keperluan rakyat yang berdepan kesusahan akibat kos sara hidup ketika ini," katanya.
-- BERNAMA