Dakwaan kegiatan gengsterisme di Ipoh: Polis tubuh pasukan penyiasat khas

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 1, 2021 07:55 MYT
Bagi tujuan keselamatan, polis menasihatkan orang awam supaya tidak mendedahkan identiti peribadi dan membuat aduan melalui kaedah tular di media sosial.
IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menyiasat dakwaan mengenai kegiatan gengsterisme di bandar raya ini, yang kini tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata, pasukan itu akan menyiasat semua maklumat yang diberikan seorang pemilik akaun Facebook bernama ‘Meganathan Nathan’, yang mendapat perhatian masyarakat.
Menurut beliau, pihaknya memandang serius mengenai aduan yang dibuat individu berkenaan.
“PDRM Ipoh ingin mengucapkan terima kasih kepada pemberi maklumat dalam perkara ini,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Bagaimanapun, bagi tujuan keselamatan, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak mendedahkan identiti peribadi dan membuat aduan melalui kaedah tular di media sosial.
Yahaya berkata, aduan atau maklumat tersebut sewajarnya dihantar melalui saluran yang betul ke Pusat Kawalan Daerah (DCC), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-254 2222 atau email Ketua Polis Daerah Ipoh di kpdipoh@rmp.gov.my.
Selain itu, katanya, segala maklumat mengenai kegiatan jenayah di Ipoh juga boleh disalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah melalui e-mail kbsjdipoh@rmp.gov.my di mana identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
Terdahulu, tular mengenai aduan seorang pemilik akaun Facebook kononnya terdapat kegiatan kumpulan kongsi gelap di Ipoh yang melibatkan golongan remaja.
Kumpulan itu yang dikatakan terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan aktiviti jenayah, turut didakwa cuba mempengaruhi remaja lain di kawasan sekitar untuk menyertai mereka.
#Ipoh #media sosial #Facebook #polis #Dadah #gengsterisme #gengster #PDRM #dedah identiti #remaja #pasukan khas
;