Dakwaan ke atas 1MDB serangan bermotif politik - Salleh Said Keruak

Astro Awani
Julai 21, 2016 00:28 MYT
SALLEH SAID: Tiada yang bersalah selagi ia tidak dibuktikan di mahkamah. - Gambar fail
Dakwaan ke atas syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah serangan bermotifkan politik.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata ia adalah usaha menjatuhkan ketua yang dipilih secara demokrasi.
Dalam kenyataan media pada Khamis, beliau mahu dakwaan ke atas 1MDB diteliti dan perlu mengikut proses undang-undang.
Katanya, tiada yang bersalah selagi ia tidak dibuktikan di mahkamah.
Jelas beliau, isu berkaitan derma kepada Perdana Menteri adalah hal lain dan selepas siasatan menyeluruh dilakukan, dana tersebut sah dari keluarga DiRaja Arab Saudi seperti dalam kenyataan pada 14 April lalu.
1MDB pada Khamis menafikan ia adalah pihak yang berdepan saman sivil oleh kerajaan Amerika Syarikat.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Malaysia akan bekerjasama sepenuhnya dengan sebarang siasatan berhubung syarikat-syarikat Malaysia atau rakyatnya mengikut protokol antarabangsa.
Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad mengulangi kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian, sekiranya terbukti wujud salah laku.
Dalam satu kenyataan Tengku Sariffuddin pada Khamis memaklumkan pihak berkuasa malaysia sudah melakukan siasatan terhadap 1MDB.
Syarikat itu juga disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, (SPRM), Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Jelas beliau, selepas penelitian, Ketua Audit Negara mendapati tiada sebarang jenayah berlaku.
1MDB hari ini dalam satu kenyataan menafikan ia adalah pihak yang berdepan saman sivil oleh kerajaan AS.
Peguam negara AS, Loretta Lynch sebelum ini memaklumkan beberapa individu menyalahgunakan dana syarikat 1MDB.
Tambah Lynch, individu tersebut memasukkan sejumlah dana ke akaun bank peribadi mereka.
"Kami tidak akan biarkan AS dijadikan platform untuk perpindahan wang haram," kata Lynch dalam satu sidang media pada Rabu untuk membincangkan saman yang difailkan untuk mendapatkan lebih daripada AS$1 bilion (RM4 bilion) yang dikaitkan dengan 1MDB.
Tambah Lynch, beliau berharap dana yang disalahgunakan ini akan dibawa kembali ke Malaysia.
#1MDB adalah serangan bermotifkan politik #Dakwaan ke atas syarikat pelaburan strategik negara