Dakwaan jual bayi: Dua klinik swasta di Klang diserbu polis
Astro Awani
November 30, 2016 20:46 MYT
November 30, 2016 20:46 MYT
Dua buah klinik bersalin swasta di bandar ini diserbu polis petang tadi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penjualan bayi.
Serbuan dibuat anggota dari Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bermula jam 2 petang tadi.
Operasi yang dinamakan “Ops Baby" itu diketuai oleh Superintendan Cha Hoong.
Ia dijalankan hasil risikan dan maklumat mengenai laporan Stesen Televisyen Al-Jazeera baru-baru ini yang kononnya terdapat kegiatan menjual bayi di daerah itu.
Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan siasatan lanjut masih dijalankan polis selain turut merampas beberapa dokumen bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Operasi ini turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Kesihatan.
Selain di Klang, serbuan “Ops Baby” ini turut dilakukan terhadap tiga premis lain di Puchong, Tanjung Sepat dan Labu, Negeri Sembilan.
Sebelum ini, polis sudah memanggil kru produksi stesen televisyen berkenaan untuk siasatan lanjut berhubung kesahihan dakwaan itu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini turut mengesahkan akan memanggil beberapa lagi individu berkaitan penerbitan laporan dokumentari berkenaan.