Dakwaan jentera bomba tersadai, kementerian tidak lindungi sesiapa

Muhafandi Muhamad
April 20, 2019 22:00 MYT
Zuraida ketika disambut orang ramai pada majlis penyerahan surat tawaran dan perasmian Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu di Wakaf Mek Zainab hari ini. --fotoBERNAMA
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak akan melindungi sesiapa sepanjang siasatan dalaman yang dilakukan berhubung isu jentera pemadam kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang didakwa tersadai akibat kerosakan.
Menterinya Zuraida Kamaruddin menegaskan, JBPM dan KPKT merupakan pihak yang mempunyai integriti.
"Kena tengok (hasil) siasatan itu dahulu, kalau ada keperluan barulah buat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Kita tidak melindungi sesiapa. Kita bomba tak ada isu integriti. Kita laksanakan tugas seperti yang sepatutnya," katanya.
Mengulas lanjut mengenai siastan yang dijalankan oleh jawatankuasa dalaman itu, beliau memaklumkan ia masih berjalan dan sedang melihat keperluan melaporkannya kepada SPRM.
Pihaknya juga, kata Zuraida, tidak menetapkan tempoh masa untuk siasatan dijalankan jawatankuasa itu.
Jelasnya, siasatan yang dijalankan itu melibatkan kes pemberian tender secara langsung.
BACA: Jentera bomba 'cap ayam'? Jawatankuasa ditubuh siasat isu pembelian aset JBPM
Pada Jumaat, Zuraida berkata, kerajaan akan meneliti terlebih dulu laporan menyeluruh jawatankuasa dalaman yang menyiasat isu jentera pemadam kebakaran JBPM yang didakwa tersadai akibat kerosakan, sebelum mengambil sebarang tindakan.
Katanya, buat masa ini, pihaknya masih melihat sama ada wujud ketirisan oleh syarikat pembekal, syarikat AVP Engineering (M) Sdn Bhd sehingga menyebabkan banyak jentera pemadam kebakaran itu tidak dapat digunakan.
Sebelum ini, KPKT dilaporkan turut akan meneliti laporan diberikan JBPM berhubung keadaan 97 jentera atau fire rescue tender (FRT) yang ‘tersadai’ akibat kerosakan.
#bomba #cap ayam #integriti #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #jawatankuasa #JBPM #jentera pemadam #kebakaran #kenderaan #KPKT #melindungi #siasatan #siasatan dalaman #tersadai #Zuraida Kamaruddin
;