Dakwaan Jambatan Sungai Pari berbahaya dan boleh runtuh tidak benar - MBI

Aida Aziz
Oktober 4, 2022 13:19 MYT
Tidak timbul sebarang masalah atau kerosakan pada jambatan yang dipercayai berusia lebih 30 tahun itu, seperti yang tular baru-baru ini di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp. - Foto Astro AWANI
IPOH: Struktur Jambatan Sungai Pari di Jalan Gurdwara, Buntong di sini dijamin dalam keadaan baik dan selamat digunakan oleh pengguna jalan raya, ujar Ketua Penolong Jurutera Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Mohd Zamri Mohd.
Beliau berkata, tidak timbul sebarang masalah atau kerosakan pada jambatan yang dipercayai berusia lebih 30 tahun itu, seperti yang tular baru-baru ini di media sosial Facebook dan aplikasi Whatsapp.
Ujarnya lagi, sebelum ini MBI telah pun menerima aduan berhubung jambatan itu daripada Ahli Majlis di kawasan tersebut, namun siasatan mendapati ia tidak berbahaya dan selamat digunakan.
"Aduan ini Ahli Majlis sudah ajukan sejak awal tahun ini, namun hasil siasatan kita mendapati kerosakan (rekahan/lubang) stuktur ini tidak melibatkan bahaya kepada jambatan.
"Sebab itu kita tidak mengambil sebarang tindakan waktu itu, tetapi baru-baru ini tular kata jambatan ini tidak selamat dan sebagainya.
"Masalahnya sebenarnya pada joint (sambungan) saja. Tetapi itu tiada isu, ia tidak melibatkan struktur.
"Kita sudah periksa keadaan atas dan bawah jambatan ini, kita semak dan dapati bearing dalam keadaan baik, yang penting bearing itu sebenarnya.
"Bagaimanapun, kita sudah minta pihak konsesi untuk ambil tindakan segera, dan pembaikan akan dilakukan di situ," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas ketika mengadakan tinjauan di jambatan tersebut.
Hadir sama, wakil Jabatan Kejuruteraan MBI, wakil syarikat konsesi, Ahli Majlis MBI, S Jayagopi, dan Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan.
Sehubungan itu, Mohd Zamri berkata, kerja-kerja penambahbaikan akan tetap dilakukan demi memastikan perkara itu tidak mendatangkan kegusaran kepada pengguna jalan raya.
"Kerja-kerja membaiki akan melibatkan bahagian joint sahaja, dan bahagian atas jalan yang nampak retak atau berlubang itu akan ditampal atau guna kaedah tertentu.
"Hari ini wakil jurutera dari Puncak Emas pun hadir sama, kita akan bekerjasama bincang kaedah dan material yang sesuai dan terbaik untuk digunakan," katanya lagi.
Mohd Zamri berkata, pihaknya tidak menyalahkan mana-mana individu yang menularkan video berhubung jambatan itu, namun katanya sebaiknya diperiksa terlebih dahulu.
"Itu hak mereka sebagai netizen, cuma bila kita beri maklum balas harapnya mereka faham.
"Kadang-kadang ada aduan yang netizen bagi benar, berasas. Tapi bila tidak berasas kita kena beri jawapan balas, inilah kaedahnya," katanya.
Sementara itu, S Jayagopi berkata, pihaknya sentiasa peka dengan rungutan dan aduan masyarakat di situ, bagaimanapun jelasnya orang ramai tidak sepatutnya menyebarkan maklumat yang belum pasti sahih.
"MBI ada turun padang ke sini dan dalam proses untuk baik pulih tetapi keadaan ini bukan bahaya seperti yang tular baru-baru ini.
"Tetapi bila saya kata keadaan ini tidak bahaya, ada pula yang kata saya bukan individu yang layak untuk beri kenyataan.
"Oleh itu hari ini kita panggil orang yang lebih arif seperti jurutera MBI dan syarikat konsesi, memang didapati keadaan jambatan selamat dan orang ramai tidak perlu risau," katanya.
Sebelum ini, tular video di media sosial yang memaparkan dua orang lelaki mendakwa jambatan itu sudah retak selain berbahaya dan boleh runtuh bila-bila masa jika berlaku hujan lebat.
Individu itu turut mendakwa Ahli Majlis dan pihak berkaitan di kawasan tersebut tidak menjalankan tugas serta tidak peka dengan keadaan jambatan yang dikatakan retak dan berbahaya.
#Jambatan Sungai Pari #Majlis Bandaraya Ipoh #jambatan runtuh #Buntong
;