Dakwaan jadi dalang isu video intim satu tuduhan jahat - Rafizi

Rahimah Abdullah
Jun 16, 2019 17:13 MYT
RAFIZI: Ia tuduhan jahat dan tidak sepatutnya dibangkitkan ketika ini. - Gambar fail
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli nafi menjadi dalang dalam isu klip video intim melibatkan dua lelaki termasuk seorang yang mirip menteri.
Beliau menyifatkannya sebagai tuduhan jahat dan tidak sepatutnya dibangkitkan ketika ini.
Justeru katanya, isu berkenaan sepatutnya diserahkan kepada pihak berkuasa polis dan mana-mana pihak tidak sepatutnya mengeruhkan lagi keadaan dengan kenyataan yang tidak sepatutnya.
“Saya rasa itu tuduhan jahat dan tak perlu sekarang. Sebab itu saya kata sebarang soalan dan komen akan merumitkan lagi keadaan,” katanya semasa ditemui media di Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pandan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini pada Ahad.
Malah katanya, dakwaan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa beliau difitnah hanya boleh disiasat pihak polis.
“Macam yang disebut Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, Azmin kata perkara ini (klip video seks) adalah fitnah terhadap beliau. Sama ada fitnah atau tidak itu hanya ditentukan oleh pihak berkuasa. Tunggu pihak berkuasa.
“Bila ada spekulasi kata orang itu, kata orang ini terlibat, itu mendatangkan fitnah kali kedua, ketiga dan keempat. Kalau contoh ada dalang dalam parti terlibat, maka sudah tentu pihak berkuasa akan dapat tahu dalangnya,” tambah beliau lagi.
Rafizi dalam pada itu mengakui spekulasi melibatkan klip video intim itu adalah satu ujian besar Pakatan Harapan sejak mengambil alih kerajaan.
“Setiap parti dan kerajaan ada ujian. Saya setuju ini ujian besar kepada PH sejak ambil alih kerajaan namun pada masa sama kita bergantung kepada bagaimana badan kerajaan uruskan perkara ini,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya di peringkat parti, beliau melihat ada keperluan untuk menyiasat isu berkenaan.
“Perkara ini telah dibincangkan dan biro politik telah buat keputusan dan saya pasti biro politk dan Majlis Pimpinan Pusat akan buat keputusan sewajarnya. Malah ada keperluan.
“Saya tidak akan campurtangan dalam satu pun mesyuarat melibatkan perkara ini kerana saya tidak mahu terlibat,” kata Rafizi.
#Azmin Ali #dalang video tular #Haziq Aziz #Rafizi Ramli #video intim #video seks #video tular
;