Dakwaan ibu cuba bunuh kanak-kanak tidak benar

Bernama
Mac 1, 2022 13:47 MYT
Polis masih menjalankan siasatan sekiranya terdapat apa-apa perbuatan jenayah terhadap kanak-kanak itu. - Gambar hiasan/ Bernama
KUALA LUMPUR: Siasatan polis terhadap seorang kanak-kanak berumur lingkungan 12 tahun yang mendakwa cuba dibunuh ibu kandungnya dalam rakaman yang tular di media sosial pada Ahad lepas mendapati, kanak-kanak itu hanya dimarahi ibunya kerana bergaduh.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata kanak-kanak lelaki itu dimarahi setelah bergaduh dengan adiknya dan hasil siasatan turut mendapati tiada unsur penderaan terhadap kanak-kanak itu.
"Polis bagaimanapun membawa kanak-kanak itu ke hospital untuk tindakan lanjut.
"Polis menerima laporan daripada orang awam memberitahu seorang kanak-kanak lelaki dipukul ibunya pada pukul 8 malam Jumaat lepas dan kanak-kanak itu kemudian dibawa ke balai polis berhampiran bagi siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya bapa kanak-kanak itu tampil ke balai polis dan membuat satu laporan polis berkenaan kejadian itu.
Beliau berkata polis masih menjalankan siasatan sekiranya terdapat apa-apa perbuatan jenayah terhadap kanak-kanak itu dan meminta saksi awam yang melihat kejadian supaya tampil memberikan keterangan.
"Orang ramai dinasihat berhenti menyebarkan video itu kerana penularannya menyebabkan kegusaran awam," katanya.
-- BERNAMA
#Tular #kanak-kanak dakwa ibu mahu bunuh #kena marah #bergaduh