Persatuan Pengguna Islam Malaysia, (PPIM) mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan penjelasan terperinci berhubung kes kematian Allahyarham Hapipah Md Taha yang didakwa akibat kecuaian Hospital Putrajaya.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan memberitahu, kejadian itu bukan yang pertama dan sesuatu harus dibuat pihak berwajib bagi mengelak situasi sama berulang.

Kata Nadzim, sejak Januari tahun ini, pihaknya telah menerima lebih 10 aduan berkaitan kes kecuaian hospital kerajaan dan swasta.

"Selalunya, kalau kita pergi hospital, kita akan serah diri kepada doktor bertugas untuk buat apa yang perlu.

"Ini berlaku kerana keyakinan yang ada pada doktor dan industri perubatan.

"Tetapi kini kita kena fikir beberapa kali kerana sejak kebelakangan ini kualiti perkhidmatan kesihatan yang diterima pengguna semakin menurun," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Dalam sidang media sama, suami dan anak Hapipah menggesa KKM agar memberikan penjelasan terperinci berhubung rawatan yang diberikan kepada Allahyarham.

"Sebagai suami arwah, saya amat dukacita dan kesal dengan perbuatan sebegini sedangkan saya hantar isteri saya ke hospital dalam keadaan baik, boleh berjalan.

"Saya minta kalau boleh Menteri Kesihatan tampil berjumpa kami sekeluarga bagi menjelaskan kesilapan yang terjadi," kata Abdul Razak Bachik, suami kepada mangsa.

Menurut anak bongsu Hapipah, Muhammad Hakimi Abdul Razak, 26 tahun, ibunya mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya awal September 2015 akibat kencing tidak lawas.

Namun, suntikan dipercayai 'anti-cocktail' yang diberikan semasa rawatan di Zon Kuning itu didakwa menjadi punca yang menyebabkan kemerosotan kesihatan Hapipah sehingga meninggal dunia pada 29 Disember 2015.

Lebih mengejutkan, cap jari Hapipah diambil pihak hospital bagi tujuan prosedur pembedahan tanpa pengetahuan mahupun persetujuan ahli keluarga.

Selain penjelasan mengenai rawatan, keluarga Hapipah juga mendesak supaya KKM menjelaskan mengenai bil bayaran hospital yang mencecah RM20,000 dan ketiadaan pendaftaran pesakit.

Ini diburukkan lagi dengan ketiadaan laporan perubatan biarpun diminta ahli keluarga.