Dakwaan 'gua kosong' bawah KL: Tiada ahli geologi bernama Sarah Jamal berkhidmat di UM
Bernama
Ogos 26, 2024 18:35 MYT
Ogos 26, 2024 18:35 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Geologi Universiti Malaya (UM) hari ini menafikan terdapat ahli geologi bernama Dr Sarah Jamal berkhidmat di universiti berkenaan.
Ringkasan AI
- Jabatan Geologi Universiti Malaya (UM) menafikan kewujudan ahli geologi bernama Dr Sarah Jamal di universiti tersebut.
- Ketua Jabatan Geologi UM, Prof Madya Dr Meor Hakif Amir Hassan, menyatakan bahawa artikel yang mendakwa kewujudan "gua kosong yang amat besar" di bawah Kuala Lumpur adalah palsu.
- Tambahnya, tiada ahli geologi bernama "Sarah Jamal" didaftarkan dalam senarai daftar Lembaga Ahli Geologi Malaysia.
Ketua Jabatan Geologi Fakulti Sains Universiti Malaya Prof Madya Dr Meor Hakif Amir Hassan dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook Jabatan Geologi UM berkata tiada ahli geologi bernama "Sarah Jamal" didaftarkan dalam senarai daftar Lembaga Ahli Geologi Malaysia.
"Kandungan artikel ini adalah tidak berdasarkan fakta dan palsu.
"Staf Jabatan Geologi UM mengambil langkah berhati-hati mengulas berkenaan insiden di Jalan Masjid India yang melibatkan kehilangan nyawa, memandangkan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) serta penyiasatan oleh pihak berkuasa masih berjalan selain punca kejadian masih tidak dipastikan," katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan satu artikel tular di media sosial yang kononnya ditulis oleh seorang ahli geologi terkemuka dari UM bernama Dr Sarah Jamal yang mendakwa terdapat "gua kosong yang amat besar" di bawah bandar raya Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
#Jabatan Geologi Universiti Malaya
#tanah jerlus
#Dr Sarah Jamal
#ahli geologi
#kandungan palsu
#gua kosong