Dakwaan fitnah terhadap bekas Naib Canselor UKM: Polis rakam keterangan dua individu

Bernama
Februari 5, 2025 17:17 MYT
Hussein Omar berkata pihaknya sebelum ini menerima dua laporan polis daripada dua individu terbabit dan keterangan mereka sudah diambil bagi membantu siasatan.- Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Polis telah merakam keterangan dua individu daripada pengurusan tertinggi sebuah universiti awam tempatan berhubung dakwaan fitnah dan tohmahan membabitkan bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Ringkasan AI
  • Polis telah merakam keterangan dua individu daripada pengurusan tertinggi sebuah universiti awam tempatan berhubung dakwaan fitnah dan tohmahan terhadap bekas Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.
  • Mohd Ekhwan telah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Canselor UKM, berkuat kuasa pada Ahad, dengan alasan mahu menumpukan perhatian terhadap perkara lain.
  • Terdapat dakwaan di media sosial mengenai unsur salah guna kuasa dan penyelewengan di UKM yang mengaitkan Mohd Ekhwan, dan beliau telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya sebelum ini menerima dua laporan polis daripada dua individu terbabit dan keterangan mereka sudah diambil bagi membantu siasatan.
"Beberapa pihak lain yang berkaitan akan dipanggil bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan bahawa Mohd Ekhwan telah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Canselor UKM, berkuat kuasa pada Ahad.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir juga mengesahkan menerima surat peletakan jawatan itu beberapa hari lepas dan pihaknya menerima keputusan tersebut kerana Mohd Ekhwan memberikan sebab mahu menumpukan perhatian terhadap perkara lain.
Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan terdapat unsur salah guna kuasa dan penyelewengan di UKM yang mengaitkan Mohd Ekhwan, dan beliau juga telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.
-- BERNAMA
#akwaan fitnah dan tohmahan #ekas Naib Canselor UKM #Mohd Ekhwan Toriman #Hussein Omar Khan #terkini
;